Wednesday, December 24, 2008

Ganjaran Selepas Penat Lelah

Hadiah aku sudah sampai. Bukan hadiah Krismas. Tapi hadiah untuk sukan rumah-rumah yang aku wakili beberapa bulan yang lepas (dan majlis penutupnya baru selesai beberapa hari yang lalu). Sungguh lama tempoh masa untuk sesuatu majlis atau kejohanan sukan berlangsung.

Hadiah aku (maaf, gambar hadiah tidak dapat aku paparkan di sini), yang masih tersangkut di meja Pegawai Kewangan di company aku, sama hebatnya dengan hadiah bagi kejohanan sukan antara rumah-rumah di sekolah anak buah aku. cuma saiz dan harganya sedikit berbeza mengikut umur peserta.

Menurut pegawai itu lagi, hadiah aku ini (yang merupakan hadiah bagi tempat kedua) sama sahaja kuantitinya. Cuma kualitinya agak ciput jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya.

Aku masih sabar menunggu hadiah beralih tangan.

Pasukan aku, naib johan bagi kategori Bola Tampar Wanita dan Johan bagi Futsal Wanita.

Aku sudah mendapat gambaran sebenar mengenai hadiah tempat kedua yang bakal aku perolehi nanti. Hanya menunggu hadiah bagi tempat pertama sahaja.

Aku ada kerja luar sekejap lagi. Boleh aku menyelit ke Pejabat Kewangan untuk menuntut hadiah aku di sana.

Aku akan tunjuk hadiah aku kepada kamu nanti. Jangan risau!

Tuesday, December 23, 2008

Mode Penghujung Tahun

Aku sibuk. Tersangat sibuk sejak pos terakhir aku tempoh hari. Maklumlah, bila tiba penghujung tahun macam ini. Semuanya perlu diselesaikan segera. Tidak mahu ada saki-baki kerja tahun ini untuk tahun baru hadapan.

Pagi semalam aku bersarapan di sini. Nun jauh di hadapan, pemandangan terasa indah (eh? kat bawah tu ada tasik tau..). Aku baru habis kerja luar. Menikmati sarapan sambil lepak-lepak sebelum pulang ke ofis.

Dan ini lah sarapan aku pagi semalam, dan merupakan lunch aku untuk hari itu. Aku harap ia menyihatkan!

Aku baru dimaklumkan oleh seorang rakan (semasa aku lunch bersamanya tadi) yang dia dicalonkan untuk APC tahun ini. Terasa mulut aku seperti bocor ketika hendak menyuap nasi. Semua makanan yang aku jamah terasa jatuh berderai (huwaaa...!).

Adakah dia saingan aku atau dia memang pemenangnya tahun ini?? Aku mendengar dia bercerita. Menurutnya lagi, maklumat ini pun dia dapat dari seorang rakan pejabat aku yang agak baik dengan Boss. Ah! Tidak mengapa. Lagipun dia memang saingan yang bagus. Aku tidak kecewa jika APC tahun ini menjadi hak miliknya. Tidak apa. Tahun hadapan cuba lagi.

Eh..?? Tapi keputusan belum di umumkan lagi!

Masih sempat lagi melakukan kerja-kerja melobi untuk saat-saat terakhir!

(Nota : Sila abaikan ayat aku yang terakhir hehehe...)

Wednesday, December 17, 2008

Rezeki di Pejabat

Pagi tadi untuk teh tarik. Petang tadi juga untuk teh tarik.

Selalunya di sini, aku adalah gadis pembancuh teh (untuk geng jahat sahaja). Dan tukang tarik adalah seorang crew lelaki yang rajin ke pantry (juga geng jahat).

Ah! Bukan susah pun buat teh tarik. Cuma perlu dauh teh (serbuk atau uncang), air panas (100%), susu pekat manis dan sedikit garam untuk lebih lemak berkrim. Dan jangan lupa, dua bekas (jag atau apa-apa yang sesuai) untuk acara tarik teh.

Gambar di atas aku saja letak untuk lebih kesan dramatis. Memang sesuai diminum ketika acara-acara yang sungguh membosankan (seperti di atas).

Tapi sesi perbincangan kami di atas ketika itu memang cukup santai. Big Boss tidak hadir bagi sesi mesyuarat. Sehingga aku seakan termuntah untuk minum teh tarik untuk gelas yang ketiga. Eww..!

Aku perlu stabilkan kembali rutin pemakanan aku di pejabat. Sungguh tidak sihat!

Monday, December 15, 2008

Sesal Dahulu Pendapatan

Petang itu, sebelum lunch. Aku meminta seoran teman menemani aku ke bank. Ada urusan yang memerlukan perhatian ku. Akaun aku perlu di aktifkan semula kerana sudah beberapa bulan tidak beroperasi. Biasalah. Orang sibuk! (takde duit la tu..)


Setelah bertanyakan beberapa perkara, aku diberiklan dua jenis borang. Satu untuk penyimpanan dan satu lagi untuk pengeluaran.


" Masuk RM10, keluar RM10," kakak di Helpdesk menjelaskan.


Aku tercengang. Muka pelik.


" Syarat dik. Bila nak aktifkan akaun, kena buat pengeluaran sekurang-kurangnya RM10," jelasnya lagi (mesti dia nampak muka aku macam blured tadi).


Aku angguk.


Selesai mengisi borang dan mendapatkan nombor, aku menunggu di barisan kerusi di hadapan kaunter.


" 2304, kaunter 5," suara seksi dari perakam suara berbunyi.


Aku berjalan mendapatkan kaunter.


(Haish..abang hensem la)


" Tambahan RM1 untuk komisen," abang hensem di kaunter 5 besuara tiba-tiba.


" Err..50 sen untuk penyimpanan, 50 sen lagi untuk pengeluaran," sambungnya lagi sebaik melihat aku terkebil-kebil.


" Oh..," respon aku (itu aje??!) Aku mengeluarkan RM1 tanpa banyak soal.


"Komisen tu untuk apa hah? Sebab branch lain ek?" mulut aku terlebih ramah bertanya.


" Ha'ah. Kalau Perlis atau Penang (aku tak pasti dia ada menyebut Perak atau tidak) baru tak charge."


Aku senyum (padahal aku dah tahu pun).


Sementara borang diproses, dia meminta kad pengenalan aku untuk pengesahan. Dia meminta aku meletakkan ibu jari ke mesin pengimbas. Selesai. Tetapi semasa dia cuba mengalihkan mesin itu, cable di mesin itu tercabut mengakibatkan paparan di skrin komputernya terganggu. Ada resah di wajahnya.


" Maaf, kena buat sekali lagi. Cable tercabut pulak..," sengih abang hensem.


Aku senyum sambil meletakkan ibu jari ke mesin pengimbas sekali lagi. (Tak apa. Untuk kamu, berkali-kali pun aku sanggup menunggu.)


Selesai urusan. Dia menghulurkan buku bank, kad pengenalan dan duit pengeluaran yang aku buat tadi. Dia memandang aku dan tersenyum. Manis. Alahai....


Aku balas senyumannya. Berjalan mendapatkan teman yang menunggu dari tadi lalu keluar dari bank. (Aku mahu datang lagi ke sini, err..urusan apa ek? Disini semua urusan boleh ke mesin sahaja...)


Tiba-tiba aku seakan tersedar sesuatu...


" Alamak!" aku menjerit perlahan.


" Kenapa?" teman memandang hairan.


" Kuku ni, berinai.... mesti mamat tu ingat aku dah kahwin kan?" aku membelek-belek kuku.


" Lorr...sabar. Dia pun dah kahwin tu, " balas teman menyedapkan hati aku.


(moral : bagi kamu yang belum berkahwin, jangan gatal-gatal pakai inai di kuku atau jari. Nanti tak ada orang mengorat kamu.) :P

Tibai Kemenangan!

Hah! Kan aku dah cakap. Semangat kesukanan aku menebal. Hasilnya team aku menang. Dan yang paling penting, aku turut menjadi penyumbang kepada kemenangan pasukanku.
Sorry la ye. Tiada foto kemenangan untuk saat-saat mengembirakan ini.
Yang penting, semua crew berpuas hati.
Sebelah tangan ku pasti akan terasa sakitnya malam nanti. Tidak apa. Janji pengerusi kelab akan tersengih hingga ke gusi sepanjang musim ini. Ini baru permulaan, ada lagi aktiviti yang bakal aku anjurkan untuk semua crew. Jalan-jalan makan angin pula agaknya. Yeay! Tak sabar pulak rasanya.

Tibai Oi Tibai!!!

Cabaran akan bermula!
Heh! Hari ini cabaran badminton yang aku anjurkan akan bermula sebentar sahaja lagi. Aku tidak teruja sedikit pun. Serius! Aku tidak minat badminton. Walaupun sukan ini menjadi kegilaan hampir seluruh warga Malaysia (agaknya lah..) tapi aku tetap tidak berminat.
Hasilnya aku terlewat sedikit ke tempat kerja (terlewat dari biasa). Tetapi tidak lah sampai merah pulak rekod kedatangan aku pagi ini. Terlewat ini pun gara-gara terlupa membawa kasut sukan yang mengakibatkan aku terpaksa berpusing balik ke rumah.
Apa-apa pun, cabaran harus diteruskan demi pasukan, demi kawan-kawan yang lain. Semangat kesukanan aku masih menebal. Tidak perlu risau okey?!
Tunggu sahaja laporan keputusan perlawanan dari aku nanti ya!

Sunday, December 14, 2008

Sampaikan Khabar Gembira Mu

Tengahari tadi, aku lunch di sini. Panas ketika itu. Tiada hujan.

Tapi khabar yang aku terima lewat pagi tadi mengatakan hujan lebat di Kuala Lumpur. Ah! Masih hujan rupanya di sana. Harap-harap tiada lagi kejadian tanah runtuh berlaku. Cemas aku di buatnya. Sayu.

Mengingatkan kejadian tanah runtuh yang berlaku ketika aku bercuti ke sana minggu lalu, benar-benar menginsafkan. Kejadian seperti itu mengingatkan kembali bencana banjir paling buruk yang berlaku di negeri Johor beberapa tahun lalu. Ya! Seharusnya aku ingat banjir itu kerana rumah atok aku di Kota Tinggi turut terkena musibahnya. Oh! Hampir aku terlupa bencana tsunami yang menggemparkan negara suatu ketika dulu. Traumanya masih terasa kerana sehari sebelum kejadian, aku mengadakan family day untuk crew pejabat ku di Batu Ferringhi, Pulau Pinang.
Yang pasti kini, hampir di setiap penghujung tahun kita akan dikhabarkan mengenai kejadian bencana alam yang menginsafkan. Aku harap kamu-kamu yang terkena tempias bencana seperti ini dapat menghadapinya dengan penuh kesabaran. Aku di sini hanya mampu mendoakan sahaja. Amin.

Thursday, December 11, 2008

Aku Mahu Menghentikan Masa

Aku masih lepak di cubicle. Hari ini masa bekerja tamat jam 4.30 petang, tapi aku masih di ofis.
Hanya dua hari masa berkerja selepas hari raya Aidiladha baru-baru ini. Kerja bertimbun perlu di bereskan. Mungkin aku tidak perlu menghabiskan masa ku di ofis terlalu lama. Ya, mungkin. Mungkin dengan berada di sini, aku makin sesak.
Minggu hadapan, pertandingan badminton yang aku aturkan untuk semua crew akan berlangsung. Pengerusi Kelab begitu gembira dan teruja. Ligat mengatur strategi untuk menentang pihak lawan. Pihak lawan pun bukan siapa-siapa. Budak-budak ofis aku jugak. Kebetulan aku satu team dengan Pengerusi Kelab, wah! sakit kepala aku dibuatnya. Bukan apa, lagak mahu merebut Piala Thomas pulak aku rasa.
Meeting pasal perlawanan tidak pernah habis selagi pertandingan belum selesai. Hadiah sudah berlambak di sofa di cubicle ku. Itu belum dengan set hamper lagi. Ah! pening, pening.
Minggu hadapan juga, kerja-kerja hakiki aku perlu selesai. Kalau tidak, al-maklum lah, menjawab dengan Big Boss lah aku. Tiada lagi APC untuk aku tahun ini huhuhu...
Tidak! Jangan cepat mengalah beb! Kamu jangan cepat sangat mengalah (ceh, aku pujuk diri sendiri..). Kerja minggu hadapan itu akan selesai. Hari ini minggu ini. Lalui hari ini untuk hari ini. Jangan di fikir hari esok, okey?
Okey (aku jawab).
Oh! Aku lupa apply cuti untuk Awal Muharram nanti. Aku mahu sambung cuti aku ketika itu. Mahu bermalas-malas lagi. Baik aku apply cuti itu sekarang!

Hidangan Lazat dan Berkhasiat

Lebih kurang seminggu aku berada di dalam Mode cuti. Sudah. Cukuplah. Aku perlu buang perasaan mahu bermalas-malas ini jauh-jauh (ermm...rasanya sudah berkali-kali aku cakap macam itu kan? hehehehe...).


1. Ini hidangan lazat dan berkhasiat. Teman sebilik yang memperkenalkan kepada ku minggu lalu, dan aku nikmatinya lagi semalam. Bukan sahaja boleh dijadikan santapan ketika bersarapan malah boleh dijadikan snek ketika perut berada di ambang kelaparan, heh!



2. Kejadian ini aku rakam pada petang Aidiladha. Mak ai! Hingga ke tulang kamu kerjakan daging itu ya! Bagus-bagus. Daging qurban jangan di sia-siakan. Tidak baik tau!

Hidangan lazat di hari raya, dengan menu sup lembu (sebab segala isi lembu ada di situ) dan daging goreng kunyit. Jangan di lupa air asam buat pembuka selera! :)

3. Satu lagi hidangan lazat. Mee Wantan Bercendawan, yang aku nikmati ketika temujanji bersama 'Cinta Pandang Pertama' ku di sebuah kompleks membeli belah berdekatan Jalan Tunku Abdul Rahman. Salah satu favourite aku yang aku rasa agak sukar ditemui di Lembah Sintok ini.


4. Nasi Lemak Kari Sotong. Whoah! Memang lazat. Walaupun kari bukanlah kegemaran aku, tetapi yang ini memang buat air liur aku menitis laju. Lepak di Kampung Boy Kopitiam di Kompleks Pernas (Sogo) memang berbaloi!


5. Juadah sebelum masuk tidur (baca : minum malam atau cakap orang putih ; supper). Roti nan bersama kambing cincang masak... (err...aku lupa la masak apa? sebab kakak yang ambil order tu cakap cepat sangat.) Ini aku nikmati bersama teman-teman baru-baru ini. Cuma aku kurang pasti seberapa lazat kambing cincang ini sebab aku tidak berapa suka masakan yang berasaskan kambing. Tetapi yang pasti roti nan ini memang lazat dan sesuai dijadikan ubat tidur ku, yeay!


6. Singapore Laksa. Yummy! Memang lazat tapi aku tidak pasti tahap khasiatnya. Ala-ala masak lemak cili api, lemak dan pedas. Entahlah...kamu cuba lah sendiri tahap kelazatannya sebab bagi aku ia akan menjadi santapan aku kala berkunjung ke sini lagi.


Hah! Itu, yang teman aku sedang makan tu, Tom Yum Noodle. Itu memang lazat. Percaya lah cakap aku.. lazattt...!



7. Ini paling lazat dan berkhasiat (bagi aku la..). Tidak lengkap kalau ke sini jika tidak menikmati kek lazat keramat ini (dan ahli keluarga kek di sini). Cheese Cake rules!!! hahahaha..


8. Ini ikan. Memang lazat dan berkhasiat.


9. Ermm...cuma aku musykil di sini. Apa yang lazat dan berkhasiatnya kaki aku ini?? Nasib itu bukan pirana.
Menikmati sesi terapi bersama ikan-ikan. Ini dinamakan Cute Fish Spa Session. Kali ini, ikan-ikan pula yang menjalankan tugas mereka dan aku bersantai bersama teman sambil tergelak-gelak menahan geli. Terima kasih beb! Aku enjoy saat ini.

Thursday, December 4, 2008

Fantasi Mode Cuti

Aku semacam ada mood nak berkerja. Tetapi rasa-rasa macam tak ada mood nak berkerja pulak! Aishh...itu lah, petang-petang panas macam ni pun aku boleh layan blues. Ini pasal mood dalam ofis la. Banyak crew dah bercuti. Ada yang pergi kursus. Ada yang cuti emergency (kesian sebab ada seorang rakan aku di ofis ni, bapak dia sakit).
Itulah. Mode Raya Haji. Aku malas sebenarnya cuti lama-lama. Ditambah hujung-hujung tahun macam ni, banyak betul kerja yang perlu di 'settle' kan.
Tinggal beberapa hari saja nak ke tahun baru (eh? aku cakap beberapa hari sebab banyak betul hari-hari cuti dalam bulan Disember ini, itu tak tambah lagi cuti pada bulan Januari nanti). Boleh sesak kepala otak ni tau. Bukan apa, sebab aku jugak yang kena habiskan kerja-kerja yang tertinggal. Iyelah, sebab yang berkursus dan bercuti emergency pun crew di department aku hehehe...
Tapi tak kisah lah. Aku okey. Aku ikut kata-kata keramat dalam buku motivasi yang aku pinjam daripada Psychologist aku. Buku tu cakap, aku kena tutup pintu semalam dan hari esok. Aku cuma perlu focus hari ini sahaja. Hanya fikir tentang perkara-perkara pada hari ini sahaja. Buat kerja dan habiskan kerja hari ini. Tidak perlu runsing pasal hal-hal semalam dan hal-hal yang akan berlaku esok.
Ya. Aku perlu itu. Tapi, sekarang aku telah membuang masa dengan menulis blog! Hampeh! lol
Kerja aku terlantar kebosanan di atas meja.
Tapi macam yang Psychologist aku cakap, aku perlu luahkan semua yang terbuku di hati. Jangan simpan. Ini lah tempat aku luahkan semuanya, kan?? :)
Okey. Aku sambung kerja. Selamat Hari Raya Qurban untuk semua.

Wednesday, December 3, 2008

D.E.M.A.M


Aku demam? Tak. Belum lagi. Hampir-hampir demam. Itu cuma simbolik sahaja. Peringatan kepada mata aku supaya ia dapat menyampaikan gambaran simbol di atas kepala otak ku, dan supaya dianalisa sebagai satu bentuk amaran kepada seluruh sistem imun tubuh badan ku.

Aku belum bersedia untuk memanjai kamu (baca: tubuh badan aku). Tidak. Kamu belum boleh berehat dan bermalas-malas sambil menonton rancangan kesukaan kamu pada hari minggu atau hari-hari berkerja.

Tidak akan ada sijil sakit (baca: Medical Certificate) untuk kamu juga. Aku perlu mengekalkan rekod bersih kedatangan peribadi aku ke pejabat. Itu perlu.

Jadi untuk rekod, aku telah menghabiskan kesemua dadah-dadah di atas (err...cuma dua biji dadah di dalam bungkusan perak itu sahaja hehehe...). Dadah yang berharga RM4 atau 50 sen setiap sebiji itu, tidak perlu aku habiskan. Takut-takut aku akan sihat sepanjang tahun pula. Atau pun, aku tidak akan sihat sampai bila-bila! (huhu..)

Semalam, mata ku rasa semacam. Seakan membengkak. Padahal secara fizikalnya, tiada apa yang berlaku. Mata aku masih seperti biasa. Rupanya, virus D.E.M.A.M sudah hampir-hampir menyerang sistem imun ku.

Kepala berdenyut kuat. Ditambah dengan bunyi bising (kesan-kesan daripada projek ubahsuai bilik air di pejabat) yang berlagu di telinga hingga bergegar di isi kepala.

Semalam juga, Mode Rindu entah gila apa menghubungi ku dan menghantar teks ke handphone ku, bertanyakan 'mengapa u diam seribu bahasa?'. Gila ke hapa??

Semalam juga, keadaan cuaca yang panas (di luar pejabat) dan keadaan penyaman udara yang gila sejuk (di dalam pejabat) semacam membuatkan sistem imun tubuh badan ku bercelaru. Huru-hara!

Perut aku lapar semacam. Tekak aku sakit. Pelik!

Malamnya, aku terliur nasi goreng.


Aku dinner ala-ala orang sakit. Perhatikan nasi goreng untuk orang sakit (iaitu aku), air oren panas untuk orang sakit (iaitu aku juga), dan (eh? ada sambal belacan laa....) seharusnya untuk aku seorang sebab teman di sebelah alergi dengan belacan! Yabedabedu..!

Monday, December 1, 2008

Henna oh Henna!



Ini jari-jemari aku. Diam! Aku tau jari aku tidak runcing! Bukan tujuan utama aku untuk kamu membincangkannya di sini.

Aku mahu bercerita pasal inai di kuku jari aku itu sahaja. Aku suka! (hah! memang aku puji inai di situ.) Aku beberapa hari ini gila make-up kuku jari tangan ku dengan inai atau liquid henna. Semua teman di ofis atau teman sebilik aku gila henna ini macam aku juga. lol

Jangan cakap aku tidak ada kerja pulak okey. Ermm..okey, memang aku tidak ada kerja sebenarnya. Biasanya aku akan touch up jari aku bila tidak ada kerja yang hendak dibuat.

Aku tak sedar pulak bila masa aku mula suka buat kerja-kerja semacam ini. Tapi memang puas. Pengaruh teman-teman sepejabat memang kuat kesannya. Aku akui.

Dan biasanya perbuatan-perbuatan mencantikkan bahagian-bahagian tubuh ini turut akan mempengaruhi teman sebilik aku.



Tengok. Yang belakang tu, jari-jemari milik teman sebilik aku. Masing-masing tak ada kerja. Bosan saja malam-malam macam ni kalau tiada cerita menarik di Astro.

Kan aku sudah cakap. Dia juga terliur tengok kuku jari tangan ku yang berinai itu (hehehehe..).

Hari-hari Hujan Ku

Hari ini aku dan crew berkerja di luar ofis. Tiada kerja-kerja pejabat seperti hari-hari biasa. Tiada pakaian pejabat seperti hari-hari biasa. Tiada.

Hari ini kami bergotong-royong membersihkan kawasan pejabat. Walaupun cuaca seperti tidak mengizinkan sebarang bentuk aktiviti di luar pejabat, tetapi rancangan yang sudah diatur perlu juga dilaksanakan.

Walaupun (sebenarnya) rancangan ini baru aku ketahui pagi tadi, (setelah salah seorang crew menghantar khidmat pesanan ringkas ke handphone ku pada jam 5.33 pagi) aku tetap juga menunjukkan komitmen yang tinggi.

Aksi ini aku rakam ketika aku dan beberapa crew sedang berehat-rehat setelah penat membersihkan kawasan pejabat. Ketika ini pejabat berhampiran sedang mengadakan aktiviti perkhemahan tahunan mereka dan pada ketika ini, mereka sedang menyediakan makan tengahari.

Baik tuan ini. Mempelawa kami untuk menikmati teh tarik di pondok mereka. Terima kasih. Bukan secawan dua teh tarik kami nikmati, tetapi satu jag! Tak baik tolak rezeki kan??

Ermm..maklumlah, hari hujan. Enak rasanya menikmati teh tarik panas setelah kepenatan melakukan kerja-kerja pembersihan.

Dan pastinya hari ini, masa aku akan hanya terisi dengan kerja-kerja gotong-royong ini semata, dan turut diselang-seli dengan aktiviti bermandi air hujan. Heh!

Monday, November 24, 2008

Saat-saat Sentimental

Ini lah rupanya kek coklat yang aku tempah petang tadi.

Seperti yang aku jangkakan, si kecil datang menuntut hadiah. Ahh..! Kamu makan lah kek tu sampai habis. Baru boleh cakap pasal hadiah.

Jadi, Happy 8th Birthday Nayli!

Huru-Hara Fizikal dan Mental

Pagi ini aku tiba lewat di ofis. Sampai sahaja di kawasan ofis, aku berlari kencang menuju ke mesin perakam waktu. Crew yang lain tergelak sambil menyakat mengatakan rekod kehadiran ku akan 'merah' pagi ini.
"Tet!" mesin perakam waktu berbunyi. Aku menjeling untuk melihat nombor di situ.
08:00:28 saat. Eh? 08:00:38 saat. Mata aku keliru. Ahh..! Peduli lah pasal saat, yang penting belum mencecah ke 08:01 minit. Yahoo! aku masih mengekalkan rekod kedatangan bersih peribadi.

Huru-hara aku pagi ini bukan disebabkan bangun lambat, tetapi terlupa hanya aku yang berkerja hari ini. Sedangkan teman serumah aku; yang seorang tu, ada dating dengan boyfriend. Manakala yang seorang lagi, menghadiri seminar. Maka aku juga terperasan yang kononnya aku juga boleh bersantai-santai seperti mereka. Cis!

***

Hari ini birthday anak buah aku yang ke-8. Kek sudah aku tempah malam tadi. Hanya perlu diambil petang nanti. Cuma pagi tadi adik aku memberitahu yang anak buah aku mahu kek keju untuk hari jadinya. Nak gelak pun ada. Demand betul budak kecik tu!

Tapi tidak apa, kek coklat yang aku tempah harus juga di makan nanti. Kek keju pilihannya, akan makde aku beli di Secret Recipe (tapi cuma sepotong, hehehe...). Istimewa untuk Birthday Girl.

Huru-hara juga pasti berterusan jika Birthday Girl turut menuntut janji untuk menonton kartun Madagascar di cinema. Bukan aku mahu mengelak, aku akan bawa juga dia ke sana tetapi bukan hari ini. Hari minggu mungkin! :P

Ermm..esok aku pasti akan menikmati sarapan ala Western iaitu dengan kek coklat pekat pilihan chef! Lebihan kek hari jadi anak buah aku..yummy!

Thursday, November 20, 2008

SanThai..



Kecur air liur. Aku ada port baru. Malam tadi aku bersama teman mencuba di tempat baru pula. Sudah lama kami perhatikan lokasi ini. Masing-masing tertanya-tanya samada ia memang tempat makan atau kawasan persendirian.

Lepas park kereta, masing-masing jadi macam rusa masuk kampung. Jakun siot! Takut tuan tempat tu akan keluarkan statement :

" Ni bukan kedai makan dik, " mahunya malu muka kami nanti.

Tapi alang-alang dah sampai, aku dan teman tebalkan muka berjalan mendapatkan meja.

Selepas order kami sempat merakamkan suasana tempat kejadian. Tempat ni aku rasa ala-ala pondok makan zaman pendekar lagaknya. Dengan lampu neon bergantungan menghiasi premis.



Seperti biasa juga, suasana sunyi menjadi pilihan. Jumlah pengunjung bukan menjadi faktor utama aku di dalam memilih lokasi makan malam (mungkin ada sikit laa..) tetapi yang paling penting masakannya harus lah menepati citarasa aku (dan ditambah dengan suasana persekitarannya yang menarik-pun sebenarnya bukan menjadi faktor utama).

Jadi, aku dan teman pasti akan singgah lagi ke sini bila-bila masa dari sekarang (mungkin malam ini, dan malam-malam seterusnya. Heh!), dan tidak perlu aku bagitau kamu di mana lokasinya. Pandai-pandai lah kamu cari ya!

Sunday, November 16, 2008

Isu Makan Malam Vs. Baju Kerja

Aku suka dinner di sini. Senang. Tidak perlu bersesak-sesak dan menunggu terlalu lama jika perut mula menjerit-jerit minta diisi.



Masakan boleh tahan sedap, dan yang penting sambal belacan dan ulam percuma (cuma minta sahaja).

Tapi seperti biasa, port ini akan menjadi pilihan terakhir ketika masing-masing buntu mencari lokasi untuk mengisi perut. Tengok saja lah, sunyi dan tenteram. Bak kata orang, kalau nak memilih tempat makan, cari yang ramai pengunjungnya.

Erm..bagi aku, kalau makanannya okey dan harganya pun okey (paling penting tu), peduli la!

Isu 'makan dimana?' juga menjadi isu yang sama besar ketika aku dan teman sebilik mula berkira-kira untuk menggosok baju kerja. Biasanya isu 'nak pakai baju apa hah?' akan timbul selepas masing-masing pulang dari dinner.

Bayangkan, baju kerja yang berderet tergantung di rak pakaian (macam jual kat butik lagaknya) pun boleh buat aku terlopong hilang akal (agaknya, mereka yang kerja beruniform lebih senang hati bila tiba hari berkerja kan?). :P

Tidak berat pun masalah di sini. Part baju cuma konflik dalaman aku saja, tetapi bila tiba part nak keluar makan bersama perlu ada toleransi, supaya semua berpuas hati. Kan??

Thursday, November 6, 2008

Aku Hanya Mahu Mengejar Diri Ku

Hari ini masa berkerja aku punah gara-gara Majlis Konvokesyen Di-Raja yang berlangsung hampir separuh hari. Aku juga tidak selera untuk makan tengahari di Dewan Utama. Makan percuma, faham-faham saja lah! Makan di cafe lagi baik. Tidak apa walau terpaksa berbelanja sedikit. Bukan untuk orang lain, untuk perut sendiri juga.

Mode Rindu sudah beberapa hari aku matikan (secara rasminya). Kecewa? Itu sudah pasti. Aku makhluk yang bernama manusia. Pasti terluka jika disakiti. Proses pemulihan aku tidak lama. tidak sampai satu hari. Mata aku pun tidak bengkak teruk (itupun aku sudah letak ais pada malamnya. Jika tidak, pasti semua crew di ofis akan bergosip pasal mata aku sepanjang hari).

Sudah lah. Tidak perlu lagi sebarang bentuk komunikasi daripada Mode Rindu aku itu. Tempoh yang aku beri untuk berkomunikasi cukup lama tetapi tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Psychologist aku pun meletakkan tempoh untuk proses pemulihan aku. Dia bagi aku satu minggu. Tetapi aku tak boleh berkabung lama-lama (err..maksud aku, berkabung sebab putus cinta). Aku rimas. Banyak lagi hati dan jiwa yang perlu aku jaga.
Dan semestinya, banyak lagi cinta baru yang menunggu balasan aku. Maaflah, aku perlu pulihkan semula hati aku yang semacam kematu ini.

Friday, October 24, 2008

Rumah Ku Bukan Lagi Syurga Ku, atau Aku Sudah Tidak Layak Menghuni Syurga Ini

Semalam, selepas balik kerja, aku terkejut besar bila mendapati rumah sewa ku di selongkar (ntah la sapa punya kerja, orang ke monyet? C.S.I masih lagi menyiasat).
Aku yang kebetulan pulang untuk mengambil handphone yang tertinggal di bilik tidur (tuhan memang mahu aku singgah di rumah sewa ku sebelum aku ber 'Deepavali') terus ber 'imaginasi' yang handphone aku sudah tidak ada di tempatnya (mahu tercabut jantung tau..!).
Aku call teman serumah. Ambil gambar keadaan bilik ku (maklumla pengaruh C.S.I). Tunggu dia pulang. Aku tidak berani ke bahagian dapur sebab di situ lah punca atau kesan-kesan jenayah berlaku. Pagar besi yang menjadi sempadan bahagian dapur rumah ku dengan bahagian luar rumah sudah ternganga. 'Orang' atau 'monyet' yang menceroboh rumah ku itu menarik bahagian bawah pintu besi sehinggakan pintu itu hampir-hampir patah dua (sampai hati mereka..).
Tetapi aku tetap bersyukur. Tiada apa yang hilang cuma sedikit keberanian ku sahaja yang tercalar dek gara-gara kejadian itu. (Hah? Handphone aku?..ish, kan aku cakap tadi, tiada apa yang hilang) Report ceroboh sudah di buat, cuma aku menunggu tindakan susulan sahaja daripada pihak berkuasa.

(nota kaki : gambar tempat kejadian tidak dapat di paparkan di sini kerana masih lagi berada di makmal siasatan. Gambar akan di 'upload' setelah semua siasatan selesai di lakukan oleh anggota C.S.I - itu pun kalau tiada aksi-aksi yang dapat menjejaskan keselamatan penghuninya.)

Wednesday, October 22, 2008

Semua Orang Pun Sibuk!

Pengerusi kelab cadang aku buat badminton match untuk crew.
" I cadang saja. Bukan suruh buat pun.."
Aku tahu. Itu ayat memujuk. Ayat hint untuk aku. Tapi tak apa. Aku boleh buat. Sambil lepak-lepak di cubicle seorang rakan ofis, berbincang pasal match yang akan di organize, Second Boss aku menjenguk. Sekejap tengok kalendar, sekejap tengok mind mapping yang aku dan rakan ku buat, sekejap....ahh, malas la aku nak tengok dia ni.
" Err..saya bukan apa, saja nak cadang saja.. (lorr..cadang lagi), kita tak nak buat trip ke mana-mana ke kali ni? " tanya boss aku ni tiba-tiba.
" Tak nak buat tip ke Terengganu ke, Kelantan ke.... sebab saya akan ke International Endurence awal November ni.." celah dia lagi.

Whoa! Meriahnya kalau betul-betul jadi trip tu. Sebenarnya perbualan kami bukan terhenti di situ saja, cuma aku saja malas menulis. Seronok berangan-angan pasal trip tu. Ermm...tak perlulah aku turun training nanti. LoL

Tuesday, October 21, 2008

Buatlah Apa Sahaja Kerana Aku Sudah Kalis

Balik dari kerja. Mandi. Solat Asar. Bersiap. Keluar.


Sampai di destinasi. Park kereta. Keluar dari kereta. Berjalan menuju ke premis, tolak pintu kaca kemudian mata mula memerhati sekeliling. 1, 2, 3... Otak mula berkira-kira. Ada tiga couples yang masing-masing duduk berjauhan. Otak terus berkira-kira lagi. (Nak duduk di couch ke, sofa??..Duduk di couch terlalu santai...duduk di sofa kat tepi dinding tu pulak macam pergi open house je..). Akhirnya, memilih duduk di bangku putih ala-ala dining table (yela, datang pun nak makan kan..).

Waitress hulur menu. Aku buka dan analisa isi kandungan. Cheese cake first! (Dari rumah lagi aku dah terliur tau..) then main course later. Chicken Cordon Bleu (oO la la..).

Sebab aku kalis hari ini, (tak! untuk minggu ini) jadi aku boleh habiskan main course dan dessert (eh, appetizer. Tak! dessert. Ahh..ape-ape lah..) sekaligus. Puas hati!

Habis makan. Choc cheese cake masih berbaki. Doc pulak ke rest room. Lama. (Ntah apa yang di buatnya kat dalam tu!) Sambil tunggu, sambil kunyah.


Kamu ada nampak gambar kat atas tu? Sudah. Aku nak tidur!

Monday, October 20, 2008

Lemaskan Ruang Minda Ku Dengan Hot Chocolate..

Pagi ini dah dua kali aku ke tandas. Perkara yang jarang-jarang berlaku bagi aktiviti normal di waktu pagi. Penangan mee goreng mamak ekstra pedas yang aku order semalam benar-benar melumpuhkan sistem perkumuhan ku.

Kesian Doc. Dia order mee goreng biasa. Tapi, biasala kalau makan kat kedai ni..goreng satu kuali. Minta benda lain, tapi rasa sama saja. At last, dia sakit perut (tapi aku tak rasa apa-apa lagi waktu itu..heh!).

***
Kerja apa pun belum buat. Banyak betul gangguan. Cuma masalah-masalah teknikal kecil-kecil saja yang sudah settle. Coach aku datang ofis tadi. Dari ruang depan aku lari ke bahagian stor. Mengelak dari berjumpa dia. Tak mahu aku jumpa dia. Ada saja cerita (boring..) yang akan diluahkan kat aku (bosan tau tak..!). Tolong la coach..kalau ada apa-apa yang nak disampaikan, kamu tunggu saja sesi latihan kita yang akan bermula awal November ini ya!

Sudah. Masa untuk aku sambung kerja. Eh!?..aku belum mula apa-apa pun lagi.

Okey, aku nak mula buat kerja ni.

(duhh..hot chocolate aku tertinggal di pantry...)

Wednesday, October 15, 2008

Blues Pagi Aku II

Kabus tebal pagi ini. Cecah tanah.
Perkara biasa di sini jika malam tadi hujan lebat. Aku suka suasana ini. Seperti berada di kawasan peranginan lagaknya.
Crew yang lain sudah mula sibuk sejak beberapa hari lepas. Terpaksa bekerja hingga lewat malam. Hari ini paling sibuk! Tapi seperti biasa juga, mereka masih lagi berlagak macam tiada apa-apa. Jam menunjukkan ke angka 8.18 pagi. Oh! masih awal. Kerja akan bermula jam 9.Pagi-pagi lagi beberapa rakan ofis aku bising pasal harga petrol yang turun lagi 15 sen. Ahh..kerajaan. Apa agenda kamu sebenarnya. Sudah lah..malas aku pening kan otak aku pagi-pagi blues ini.
Sekali lagi, seperti biasa, hari yang sibuk pasti ada sesuatu yang percuma (baca : tajaan atau sponsor). Dan sama juga di sini, sarapan percuma adalah satu kemestian..
" Weii...bila boleh breakfast ni.." Itulah agenda aku sebenarnya. Oo la la..! :P

Tuesday, October 14, 2008

Aku Masih di sini II

Sampai hati kau boss..Setelah penat aku bertungkus-lumus menyiapkan laporan mesyuarat itu. Setelah kau pulang dari Medan, Indonesia.., dan pagi ini, kau datang ke cubicle ku tanpa membawa apa-apa di tangan mu (aik? mana ole-ole yang aku pesan.. ?).
" Eh, i dah approve cuti you tapi i lupa, i takde hari tu. i ada exam.." (duhh..! Tu nak suruh aku cancel cuti la tu...)
" You nak pegi mana? you buat kenduri ke?"
" Tak lah. Ada family trip. Biasa la, Deepavali.." aku senyum (pura-pura je tu).
"Oh. Nanti la i discuss dengan big boss. Kalau dia okey, you cuti la on that day.."
" Kalau tak okey? Boss janji bagi aku naik pentas tahun depan untuk APC?" potong aku (cuma dalam hati huhuhu...).
Haishh...buat apa la kerja on Deepavali Eve. Semua kerja aku dah settle pun pada masa tu. Cuma boss aku tu je sibuk sebab student dia ada exam. Itu la, baik sangat. Pegang dua jawatan dalam satu masa. Mana aku punya ole-ole boss??
***
" Eh, big boss setuju you cuti. Dia cakap dah tak busy time tu," boss aku, tiba-tiba bersuara semasa aku lalu depan biliknya. Hah! Kan aku dah cakap. Aku tahu la big boss aku akan setuju punya sebab aku kan bakal naik pentas tahun hadapan untuk APC, Anugerah Pekerja Cemerlang. Yeay! (mimpi je laa...)

Blues Pagi Aku

"Jom pegi pantry. Aku beli breakfast untuk geng jahat!," kawan ofis aku menjenguk di cubicle aku pepagi lagi.
Aku sengih..Apa punya statement tu?? Jahat ke aku? Tidak. Aku baik apa? :-?
Pegi la kamu sarapan. Aku baik. Pandai la aku cari nanti.
Kruk..kruk.. (nampaknya perut aku tidak setuju dengan ku, cis!) Okey. Aku ke pantry sekejap. Rezeki sedang menunggu. Tidak baik biar rezeki menunggu.

Monday, October 13, 2008

Aku Masih di Sini

Aku masih lagi bertungkus-lumus untuk siapkan meeting report yang dah beberapa hari tak abis-abis lagi. Banyak siot!

Aku masih di ofis. Jam di meja aku ni sudah pukul 9.45 malam (tapi jam dinding aku ni, masih awal..baru pukul 5.30..tak tahu la 5.30 pagi atau petang. ntah bila aku nak tukar bateri jam ni).Esok boss aku akan mula masuk ofis setelah beberapa hari outstation ( ke Medan, Indonesia katanya), dan report aku belum lagi siap. Tahu saja la, sebelum mula sesuatu kerja..ada saja halangan. Nak buat air lah, nak check emel lah. ;)

Tapi tak kisah lah. Aku tau boss aku tak akan marah kalau report ini tidak siap. Dia sentiasa faham. Aku sibuk. Crew yang lain pun sibuk. Patutnya report ni pun kerja dia. Aku terpaksa take over sebab dia outstation (ke Medan, Indonesia). Harap-harap dia tidak lupa aku yang bertungkus-lumus ni, dan harap-harap juga ada lah ole-ole untuk aku..heh! (boss, aku nak kain sutera Indonesia dua pasang, jus markisa satu botol pun sudah cukup, kek lapis Indonesia dua kotak...)

Ermm..sudah jam 10 malam. Baik aku sambung report ni... dan air teh aku ni pun dah nak habis. Aku pergi buat air sekejap!

Wednesday, October 8, 2008

Mode Rindu : ON

Aku happy, happy, happy sangattttt…..
Happy. Kalau kamu amati betul-betul, tentu kamu boleh nampak aku sengih cecah telinga. Serius! Mata aku kejap kecil, kejap besar sebab tolakkan otot-otot muka aku yang tak henti-henti sengih, gelak bla bla bla la la la…
Pesanan emel itu yang buat aku ceria hari ini. Bukan. Saat ini. Eh..bukan jugak. Harap-harap aku akan ceria sepanjang minggu ini…
Psychologist aku tahu apa yang membuatkan aku gelak besar hari ini. Semuanya aku dah luahkan kat dia. (Tolong lah doc.. Jangan gelak kan aku pasal tulisan aku ini iye).

* * *
Ish..Mr. Mechanic. Tolong lah paham. Aku sibuk sangat selepas hari raya ni. Kalau kamu telefon aku kemudian tiada apa-apa jawapan, maknanya aku sedang sibuk.
Jadi sila tinggal kan khidmat pesanan ringkas di nombor telefon ku. Insyallah, aku free nanti, aku akan balas khidmat pesanan ringkas kamu itu.
Kalau ada barang-barang yang aku pesan itu, simpan la dulu. Kalau tiada atau bajetnya melambung-lambung sehingga bakal membuatkan aku akan menurunkan berat badan aku lagi beberapa kilo, maka tidak payah la bersusah payah nak buat amal jariah untuk aku pulak.
Tidak mahu aku terhutang budi nanti. (Hutang PTPTipu aku pun belum selesai lagi).
Tapi jangan lupa ye, aku nak player yang ada USB port macam aku pesan tempoh hari. Malas aku nak beli cakera padat semata-mata untuk mendengar lagu sahaja.Ingat..jangan telefon aku kecuali ada perkara-perkara penting (pasal kereta saja tau) yang tidak dapat di bereskan sahaja.

* * *
Bila agaknya pokok bunga aku ni nak nampak kembangnya. Asal tumbuh daun, kemudian layu dan kering.. (Sang Kebun, apa baja yang kau guna hah? tiap-tiap hari siram, kau baja ke tidak?).
Kau tahu je la. Aku ni takut sikit nak jenguk pokok-pokok bunga aku tu sebab banyak sangat hidupan liar kat belakang ofis kita ni. Hari tu, aku pergi jenguk (sebab kau, Sang Kebun oi..cuti) konon nak tolong siram pokok bunga tu la…opocot! biaWAK…..besar siot!
Nasib baik biawak tu pun ala-ala terkejut jugak tengok aku. Dah tu, macam mana aku nak jaga pokok-pokok bunga aku tu… tolong lah. Kau tolong la bagi baja yang sedap-sedap untuk pokok-pokok bunga aku tu ek?
Terima kasih Sang Kebun.

* * *
Mode rindu aku tetap ON. Mungkin aku harus ke JB untuk OFF kan mode rindu aku ini. Bila ek? Ermm.. tengah fikir ni....