Thursday, April 30, 2009

Terserempak

Aku hairan. Dua tiga hari aku hanya terfikir di dalam hati dan biarkan saja ia berlalu. Tapi hari ini, baru sekejap tadi aku terserempak dengan seorang perempuan comel bertudung di dalam bilik air. Betul-betul di dalam bilik air. Pejabat aku dan dia bersebelahan, jadi kami berkongsi bilik air yang sama.

Selama aku di pejabat baru, aku terserempak 'hanya' dengan dia. Tiada orang lain. Samada semasa aku keluar dari bilik air dan dia akan masuk bilik air, atau ketika aku mahu masuk pejabat dan dia baru mahu keluar pejabat (dan mahu ke bilik air). Dan kami hanya berbalas senyuman. Dan aku tidak tahu pun namanya. Tak apa, nanti aku check.

Nampaknya, seseorang harus memulakan perbualan. Aku memerlukan lebih ramai kenalan di tempat baru, jadi aku rasa sudah menjadi tanggungjawab sosial kepada aku untuk niat itu. Dan aku juga perlu rajin membawa bekalan makanan ke pejabat untuk rakan-rakan yang lain. Bukan rasuah, cuma kalau perut kenyang senanglah mereka tolong aku jika ada sebarang kemusykilan nanti.

Thursday, April 23, 2009

Aku Sendirian Di Tempat Baru

Aku memang sibuk. Sibuk sangat sejak pertukaran aku berjalan mengikut arahan surat. Timbalan mahu aku lapor diri segera di ofis-nya kuatkuasa 15 April 2009. Permohonan penangguhan yang dibuat oleh Big Boss (di pejabat lama) aku tidak diluluskan.

"Dia tiada kuasa." Cakap Timbalan aku merujuk kepada Big Boss (di pejabat lama). Apa boleh buat. Aku kerja makan gaji. Kalau tidak mengikut arahan, maka merosot prestasi aku untuk tahun ini. Jadi, kerja-kerja Spring Cleaning berjalan agak lama dan terbatas. Tapi selesai juga pada Ahad lalu.

Jadi, sekarang aku sendirian di ofis sambil habiskan kerja-kerja hari ini. Ya. Kerja-kerja hari ini perlu selesai hari ini juga. Jadi sistem aku agak lembab untuk bertukar ke sistem baru, namun aku belajar. Meja aku tunggang terbalik. Kertas bersepah-sepah. Ya, itu menunjukkan aku amat sibuk. Rak fail baru saja aku curi dari tempat rakan yang keluar berkursus selama seminggu. Tidak apa. Pasti dia halalkan rak itu untuk aku sebab aku sudah kemas dan buat sedikit deko di tempatnya.

Aku juga tidak ada masa mahu upload semua gambar-gambar percutian bersama teman tempoh hari. Aku mahu ucapkan terima kasih pada dia sebab buat publisiti murahan untuk aku. Sekali lagi aku tumpang glamour di sini hehehe.. Thanks beb! Nanti kita pergi muzium atau zoo pulak okey? hehehe...

Baiklah. Aku perlu pulang sebab makde sudah tunggu di rumahnya. Aku janji mahu balik petang ini. Lama aku tidak tengok makde di kampung. Jangan cakap aku derhaka. Dia tiada di rumah hampir sebulan lebih. Ingat tak entri aku dulu? Makde aku ke Sabah kan? Tak ingat? Ah! Malas layan kamu. Cepat betul lupa.

Monday, April 6, 2009

Melangkah Ke Zon Bahaya

Melepak di cubicle tanpa melakukan apa-apa kerja sungguh menampakkan aku seperti tidak sabar mahu berambus dari sini. Ya, seolah-olah benar apa yang dilihat. Tapi hakikatnya aku buntu. Tidak tahu di mana harus bermula. Sesi untuk 'Spring Cleaning' pun belum di mulakan lagi. Kerja-kerja yang sepatutnya diselesaikan sudah berjaya dibereskan, dengan itu aku boleh memulakan kerja-kerja yang melibatkan perpindahan wasiat kepada crew se-division dan perlu membuat sedikit nota serahan tugas kepada penjawat yang baru. Ya, aku boleh memulakan kerja-kerja yang tertinggal cuma aku cukup malas hari ini. Sungguh tidak ada selera mahu berkemas.

Mungkin aku terlalu selesa di sini. Membuatkan aku berat mahu pergi. Atau aku terlalu selesa di sini sehingga menyebabkan aku tidak ada hati lagi mahu terus berada di sini? Entah. Mungkin sudah tiba masa aku keluar dari zon selesa dan mula masuk ke zon bahaya. Aku perlu sesuatu yang mencabar, sesuatu yang baru untuk mengisi ruang-ruang yang sudah lama tepu. Ah! Perasaan ini sungguh mengada-ngada. Sekejap mahu pergi dan sekejap seolah tidak mahu melepaskan. Pejabat baru belum lagi aku jenguk semenjak sesi perjumpaan bersama Timbalan tempoh hari. Tunggu minggu hadapan saja lebih sesuai.

Fuhh! Lepaskan segalanya bersama hembusan nafas malas ini dengan harapan semangat baru yang disedut ganti. Aku mahu sambung mengemas dan... (apa lagi aku mahu buat?) Aduh! Aku semakin tidak normal untuk berfikir, jadi biar aku mengemas saja hari ini. Chow!

Wednesday, April 1, 2009

Kebetulan Yang Menakutkan

Pernah tak kamu impikan sesuatu yang diidam-idamkan menjadi kenyataan? Sudah pasti jawapannya positif. Tapi pernah tak sesuatu yang diidamkan itu tidak menjadi setepat dan sebulat yang diimpikan? Cuma berlaku hampir-hampir sama seperti yang dicita-citakan. Contohnya, aku mahu sangat bertukar kerja ke salah satu ipta di Serdang, tetapi tidak menjadi kenyataan malah hanya dapat bertukar ke cubicle baru. Bila aku sebut ke cubicle baru bermakna persekitaran baru, rakan sepejabat dan Boss baru. Semua datang dalam bentuk pakej yang sempurna. Ironinya, Boss baru aku ini baru saja ditukarkan dari sebuah ipta di Serdang. Ya, tempat yang aku angan-angankan itu.

Bila aku kaji dan amati, baru aku mendapat petanda yang tepat. Deria ke-enam aku sebenarnya mahu menyampaikan sesuatu. Dan aku telah tersilap mentafsir dari awal. Bukan aku akan ke sana, sebaliknya aku akan bekerja dengan Boss yang baru ditukarkan dari sana. Ish.. lambat betul otak ini mahu menganalisis.

Surat pertukaran sudah selamat di tangan. Hasrat mahu menangguhkan pertukaran ke bulan Julai tidak kesampaian. Pihak atasan hanya membenarkan proses pertukaran di lewatkan sehingga penghujung bulan April sahaja. Maka awal Mei aku perlu melapor diri ke pejabat baru. Nampaknya, segala perancangan yang di buat sebelum ini terpaksa dikuburkan begitu saja.

Mendengarkan desas-desus yang sampai ke telinga aku, ramai yang mengatakan Boss aku garang orangnya. Setakat mana garangnya aku tidak pasti. Tidak kisah lah, selagi dia masih lagi dikategorikan sebagai mahkluk tuhan yang bernama manusia, maka tiada bezanya dengan aku. Cuma diharap dia tidak lokek di dalam memberi tunjuk ajar (yang berguna) supaya dapat aku guna pakai di dalam menjalankan tugas aku nanti.

Proses perpindahan dari cubicle yang luas ke cubicle yang sempit amat memeningkan kepala. Jadi aku perlu mulakan 'Spring Cleaning' dengan segera.