Saturday, February 28, 2009

Kerja Hingga Hilang Akal

Aku tidak ada masa untuk diri aku sendiri sebab aku sibuk dengan kerja-kerja di pejabat. Hinggakan balik ke rumah pun masih berkepit dengan kerja.

Banyak perkara terpaksa aku fikirkan. Hasilnya sistem di kepala otak ini tidak dapat berfungsi dengan normal dan sebaik mungkin. Kebelakangan ini, banyak program-program ad-hoc yang terpaksa diluluskan menyebabkan semua perkara yang dirancang awal terpaksa ditangguh dan diubah perlaksanaannya.

Sabtu lepas, merupakan hari terakhir Boss aku (yang selalu out-station) bertugas di sini. Aku dimaklumkan oleh teman se-division yang mengatakan minggu ini merupakan minggu terakhir Boss aku di sini. Tidak apa. Ada atau tidak sama sahaja. Dia tidak pernah ada di pejabat pun selama ini, dan kami pun tidak terasa akan kehadirannya di sini.

Maka, dari itu aku (dan rakan-rakan se-division) akan mendapat Boss baru esok (secara rasminya). Baru, hanya pada perlantikan, sedangkan yang akan datang esok pun merupakan orang lama yang sudah biasa dengan department aku. Sebelum ini beliau di division lain tapi kali ini beliau ditempatkan di division aku. Harap kerja-kerja yang kami buat selama ini dapat diselaraskan dengan lebih teratur apabila Boss baru dilantik. Tolong ya Boss. Jangan jadi macam Boss yang sebelum ini. Habis semua kerjanya kami setlle-kan.

Bulan Mac, seperti biasa akan sibuk dengan majlis konvokesyen. Ini pun banyak juga perubahan telah dibuat di saat-saat akhir dan ada juga keputusan dari perubahan tersebut masih belum di selesaikan serta diambil tindakan. Seperti biasa, bila keputusan dari jentera yang bermesyuarat lambat disebarkan, maka sudah pasti jentera-jentera perlaksana akan menerima musibah.

Biasanya, saat ini aku sudah tahu bila majlis perasmian sesuatu program yang biasanya akan berlangsung sebulan dari sekarang. Tambah menarik kalau program itu merupakan acara tahunan company. Tetapi kali ini, tarikh perasmian masih menjadi rahsia dan tanda tanya. Mungkin kamu sengaja mahu berbincang lagi mengenainya. Suka hati kamu lah. Mesyuarat lah lagi. Habiskan semua duit-duit peruntukan untuk bermesyuarat. Pesan lah Roti John mamak style dan minum lah teh tarik satu jag di meja perbincangan. Janji kamu bersepakat untuk memilih satu tarikh untuk majlis perasmian itu nanti. Aku sudah penat menunggu. Banyak lagi kerja-kerja aku tertangguh gara-gara mahu menunggu persetujuan untuk memilih satu tarikh yang sesuai. Aku sudah penat. Sekarang otak aku sudah memikirkan program untuk bulan April pula. Tengok. Sudah aku cakap. Kamu perlu cepat sebab aku tidak mahu tunggu lagi.

Aku mahu segerakan program-program di bulan Mac dan April. Lagi cepat, lagi baik. Kemudian, aku mahu rancang program untuk bulan Mei dan Jun pula. Tapi program bulan Mei dan Jun itu hanya untuk aku. Kamu jangan kacau. Pergi main jauh-jauh.

Sudah lama aku tidak bercuti. Ermm...kalau tidak dapat ke Sabah, Kuala Lumpur pun boleh lah!

Tuesday, February 24, 2009

Alahai Generasi..


Petang itu, dalam perjalanan ke Seberang Perai, aku ternampak sekumpulan kanak-kanak bermain layang-layang di satu kawasan lapang berdekatan lebuhraya. Anak buah aku asyik bergelak ketawa di tempat duduk belakang. Satu layang-layang yang berbentuk seperti Wau Bulan menarik perhatian..

Aku : Eh! Wau Bulan!
(Budak-budak yang bergelak ketawa dibelakang memberi reaksi sebaik mendengar aku menjerit teruja)

Nisa : Mana bulan?

Aku : Tu.. Wau Bulan.. (sambil menuding jari ke arah sekumpulan kanak-kanak di tepi lebuhraya)

Nayli : Mana? Takda pun..

Aku : Tu.. Tengok wau tu..

Nayli : Kite ke Acik?

Nisa : Tadi You cakap bulan? Takda pun? Petang lagi la Acik. Mana ada bulan lagi..

Aku : I mana cakap bulan. I cakap Wau Bulan la...

Nisa : Tadi You cakap wow! Bulan..

Aku : Oo.. Okey, I silap la..
(Aku malas nak explain. Budak-budak tu pun sambung bergelak ketawa di kerusi belakang)

Moral : Sama ada kamu yang tidak mahu mengambil tahu, atau aku yang malas mahu bagitahu?
(Lu pikir la sendiri..!)

Thursday, February 19, 2009

Kelu, Kaku, Bisu? Mau Komen...?

Berita yang disiarkan oleh TV3 mengenai teman lelaki seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan malam tadi benar-benar membuatkan aku tersentak. Apa tidaknya. Suasana rumah sewa yang pada ketika itu hanya ada aku dan teman sebilik bertukar menjadi bising. Macam ternampak lipas terbang atau tikus sesat gayanya. Aku sedang mandi dan pada masa sama teman di luar menonton berita. Ketukan di pintu bilik air membuatkan aku keluar cemas.

Rupanya lelaki itu kenalan teman aku. Apa boleh aku katakan lagi. Aku juga tidak mengenali lelaki tersebut cuma berharap tidak ada perkara yang buruk berlaku kepadanya.

Panggilan daripada Mr. Mechanic aku sambut dengan nada yg agak cemas sehinggakan dia pun turut cemas (boleh aku praktikan di masa lain jika aku kebosanan nanti). Sambil bercakap di telefon aku turut berbual dengan teman yang resah.

Permainan politik (di Malaysia) selalunya begitu. Kita seakan dapat mengagak apa yang bakal berlaku tetapi dalam masa yang sama tidak dapat memahami mengapa ia berlaku? Penerimaan masyarakat kita berbeza-beza. Lupakan isu agama kerana ia amat sensitif bagi sesetengah pihak. Bagi aku persefahaman itu penting. Walaupun seagama dan sebangsa, tidak bermaksud cara berfikir turut selari. Semua agama menuntut penganutnya mengamalkan cara hidup yang baik dan harmoni tetapi tafsiran 'baik' dan 'harmoni' bagi makhluk bumi adalah berbeza-beza. Keadaan yang berbeza-beza ini yang membuatkan masyarakat sedikit kabur. Dari situ pentingnya persefahaman wujud.

Jika kes (tersebarnya gambar) ADUN Bukit Lanjan ini dianggap sebagai perkara biasa bagi sesetengah pihak, tidak bermaksud seluruh masyarakat berfikiran demikian. Isu moral amat sensitif. Mungkin kerana beliau seorang ADUN. Kalau perkara ini berlaku kepada pengADUN roti di sebuah kilang, mungkin perkara ini tidak sesensitif mana. Biasalah, orang Malaysia memang begitu, malah orang di negara lain pun begitu.

Cuma aku mahu tekankan di sini, bila sesuatu perkara berlaku kepada kita, harus diterima se-profesional yang mungkin. Jika perbuatan lampau yang kita buat atas kerelaan hati kita telah tersebar ke seluruh bumi, maka terima padahnya. Jika teraniaya, maka persiapkan senjata. Kita berperang hingga ke helaian ringgit yang terakhir. (Apa lagi boleh buat daripada masuk-keluar mahkamah. Takkan mahu bunuh orang pulak!)

Aku Dipaksa Berhenti Berharap

Hasrat mahu ke Pulau Langkawi tidak tertunai. Semuanya kerana tuntukan kerja. Walaupun tujuan asal ke sana pun atas tuntutan kerja, tapi tugas-tugas di pejabat nampaknya lebih penting dari pengisian semula segala cas-cas positif dalam diri aku yang sudah lama hilang. Cas-cas yang aku maksudkan ini sama seperti tuntutan peribadi ; kemahiran-kemahiran memfokus, ketenangan jiwa, fizikal dan mental, kemahiran membuat keputusan, berfikir, berinteraksi dan segala macam kemahiran lagi dapat aku upgrade jika aku ke sana. Aku nazak kini. Sesak nafas bila berada di cubicle aku dan cubicle orang lain. Aku perlu keluar dari sini. Perlu udara lain. Aku mahu sumber pernafasan daripada pokok-pokok di Langkawi (barangkali).

Tuntutan kerja yang banyak, tidak menjejaskan aku sebenarnya. Lagi pula kerja itu memang di bawah tanggungjawab aku. Cuma yang aku kesalkan, orang lain pula yang mula resah gelisah kerana kerja-kerja mereka tidak akan siap jika aku ke Langkawi.

Tolonglah. Aku selesaikan kerja aku dan kamu selesaikan kerja kamu. Pasti tidak akan timbul masalah di situ.

Tapi, bila aku positif, aku tidak terlalu memikirkan perkara ini. Jadi dengan sendirinya bila kerja di Langkawi tidak diluluskan oleh pihak pengurusan maka acara pembaziran wang dari kocek sendiri juga akan terbatal. Dan pembaziran wang syarikat sama sekali menurun dengan jaya.

Kesimpulannya di sini, aku amat di perlukan oleh division aku pada sekian tarikh. Mereka pastinya tidak dapat melakukan apa-apa tugas tanpa aku. Heh!

Wednesday, February 18, 2009

Lagi Program Pembaziran

Petang semalam, aku diarah ke meeting Konsert Diraja sempena Sambutan Jubli Perak company. Aku ingatkan tiada lagi program sebegini selepas malam itu. Rupanya ada lanjutan daripada program berkenaan. Malam itu pesta untuk rakyat (baca : pekerja/pelajar) dan konsert ini untuk pemerintah/pihak berkuasa pula barangkali.

Bila sebut konsert dan ada perkataan D-I-R-A-J-A di belakangnya, tentunya pesta yang bakal diadakan lebih bersifat tertutup. Sudah pasti pembaziran akan melimpah-ruah. Maknanya perbelanjaan akan melebihi pendapatan. Kenapa aku berkata begitu? Apa tidaknya, dalam kegawatan ekonomi dunia kini, pastinya program-program pembaziran tidak lagi berlaku. Sebaliknya, lebihkan program-program yang berbentuk informasi yang bukan saja menghiburkan malah mendidik mereka yang terlibat. Aku rasa raja-raja tidak minta pun dibuat konsert untuk mereka, cuma penganjur yang cuba bermanis muka. Mahu menjadi rakyat yang paling dikasihi, ampun Tuanku!

Tidak perlulah meminta ampun kepada Tuanku atau sesiapa pun jika kita tidak melakukan apa-apa kesalahan. Tuanku tidak kenal pun kamu. Malah tidak tahu pun apa yang kamu buat. Baik atau jahat hanya tuhan sahaja yang tahu.

Jadi, pada aku.. kalau tidak berduit tidak perlu buat konsert yang bakal merugikan dan membebankan diri sendiri. Membazir itu kan tidak baik. Lebih mulia jika diadakan program-program khidmat masyarakat. Apa kata, 'Program Permata Tuanku - ________________'. Tempat kosong itu saja aku biarkan tanpa diisi. Perlu diisi mengikut pengisian program. Misalnya, kalau kamu mahu program pembersihan secara gotong-royong, boleh letak di tempat kosong itu sebagai 'Pembersihan Kawasan Perkuburan'. Atau boleh saja letak 'Santai Teh Tarik' jika mahu lepak-lepak atau bergosip pasal isu semasa (itupun kalau tuanku mahu lepak dan bergosip dengan kamu).

Keadaan company sekarang tidak mengizinkan sebarang bentuk pembaziran. Maksud aku, bukan sekarang sahaja tidak dibenarkan, sampai bila-bila pun tidak boleh berlaku. Pembaziran itu kan satu perkara yang merugikan. Aku bercakap bukan semata wang ringgit, aku tekankan di sini dari segala aspek termasuklah nilai-nilai kemanusiaan. Bila sebut konsert, perlukah ada nyanyian semata? Erm.. buang masa aku saja bertanya. Bukan aku tidak suka ke konsert. Aku suka. Tapi, konsert ini macam konsert syok sendiri saja lagaknya. Hanya untuk kepentingan satu pihak.

Tidak perlu terlalu beratkan kepala dengan hal sebegitu. Pastinya, meeting petang semalam aku telah saksikan (di atas kertas) kerugian yang bakal dikutip dalam penganjuran ini nanti. Tapi, harapnya tidak berlaku sedemikian bila tiba hari sebenar.

Satu pesan aku, pemilihan artis yang akan menjayakan konsert ini nanti perlulah mempunyai tarikan yang kuat di dalam penjualan tiket ke konsert ini nanti. Itu paling penting! Sebab, kerja-kerja pemasaran tiket ini diletakkan di bawah division aku. Maka, kalau penjualan tiket tidak seperti yang diharapkan, jangan pandai-pandai mahu salahkan kami pula. Kamu marah saja division yang tugasnya mencari artis-artis, lepas itu, salahkan pula, division yang kawal perbelanjaan sebab tidak mahu keluar duit lebih untuk artis top masa kini. Kemudian salahkan division-division yang berkait rapat dengan dengannya. Akhir sekali, kamu harus salahkan orang yang mula-mula mencadangkan idea penganjuran konsert, sebab dia yang memulakan segala pembaziran.

Itulah, lain kali buat homework dahulu sebelum mahu anjurkan konsert!

Monday, February 16, 2009

KiriKananKiriKanan!

Hari ini aku sangat sibuk. Sangat-sangat!

Malam ini ada company event. Sambutan Jubli Perak. Biasalah, bila sudah 25 tahun penubuhannya (secara rasmi), ada saja program pembaziran yang akan disambut secara gilang-gemilang.

Aku bukan sinis atau negatif dengan perkara-perkara begini tapi hakikat. Memang mengundang pembaziran. Tapi masih ada pro-nya. Aku tengok gelagat staf yang terlibat secara langsung begitu seronok dan teruja. Bagi mereka yang terlibat secara tidak langsung berganda-ganda seronok dan teruja. Sebab? Ya, sebabnya mereka ini mendapat pelepasan awal kerana malam ini ada pertandingan kawad antara jabatan. Persediaan untuk pertandingan sudah bermula 2-3 minggu lepas. Wah! Bersemangat pulak kamu ya? Kerja bila mahu buat?

Bagi mereka yang terlibat secara langsung pula (macam ofis aku), keseronokan itu sudah tidak terasa. Sebab? Ya, sebabnya hampir, bukan! Memang setiap tahun program-program pembaziran seperti ini kami diarahkan untuk terlibat. Malas cerita pasal itu.

Cuma aku seronok sedikit kali ini sebab room-mate aku pun dipaksa untuk pertandingan kawad itu. Bukan apa, aku seronok bila dia cakap dia confius mana satu kanan dan kiri. Hehehe... tau pun gelabah bila kena berkawad kan? Susah juga bagi sesetengah orang yang tidak biasa dengan aktiviti ini. Ye la, bila nak berjalan pun kena menghafal. Tak susah ke? Kena sebut lagi, Kiri! Kanan! Kiri! Kanan!

Ada-ada saja kamu. Jadi, kalau ada kesempatan dan kerja-kerja aku dapat dibereskan awal sebelum kamu berkawad, jangan risau. Aku akan mencelah di antara orang ramai di situ untuk melihat sendiri cara kamu berkawad. Ingat pesan aku, tangan basuh berak itu kiri dan tangan makan nasi itu kanan. Jangan kamu lupa itu. Eh? yang berkawad itu kaki kan? Harus la kamu kalah kalau ikut nasihat aku.

Aku keluar buat kerja dulu. Yeppi!

Sunday, February 15, 2009

Sebelum Aku Pergi..

Macam sedih saja bunyi tajuk entri aku kali ini.

Bukan. Aku bukan mahu pergi ke mana-mana. Aku saja gatal mahu buat tajuk itu. Atau mungkin dalam hati sudah terasa seakan aku mahu meninggalkan sesuatu yang menjadi milik aku di sini. Aku mahu tinggalkan kenangan mungkin?

Setelah sekian lama, baru semalam aku ke stable kuda. Baru berkesempatan ke sini.

Ini Texas Ranger. Ketika ini ia sedang dibersihkan oleh dua orang petugas. Konon berani dan relaks saja aku ketika itu. Dalam hati siapa tahu! Cuak siot! Kuda yang hampir mencecah 7 kaki ini, buatnya mengamuk tidak tentu pasal.. mampus aku!

Tapi Ranger tidak begitu. Seakan ada keserasian antara kami. Diam sahaja ketika aku membelai-belainya. Manja. Aku suka warnanya. Coklat mewah. Seakan-akan warna kayu. Cantik!

Tapi, keserasian antara aku dengan Juan Pablo seakan tidak wujud!

Mungkin ia tidak puas hati berada di dalam kandang berbanding dengan Ranger yang sedap-sedap lepak di luar kandang. Tergeleng-geleng sahaja si Pablo ketika aku membelainya. Ini pun nasib sempat aku rakam ketika ia tenang sedikit. Kalau tidak, mahunya ia makan tangan aku!

Aku rasa, mungkin ini kali terakhir aku ke sini. Tidak akan ada lagi hari-hari yang lain. Hati aku sendiri sudah tidak keruan untuk terus berkerja di sini. Bukan kerja di kandang kuda ini. Err..maksud aku kerja di company aku sekarang. Jadi aku sengaja mangambil kesempatan membuat lawatan tidak rasmi ke tempat-tempat menarik di sekitar kawasan tempat aku kerja. Dan stable kuda ini salah satu daripadanya.

Ahh! Biar betul mahu berhenti kerja?

Bukan berhenti kerja. Seriously. Cuma mahu bertukar angin. Mahu berkerja di tempat lain pula. Mahu memajukan diri dah menambah pengalaman sebanyak yang mungkin. Berubah itu hanya ada 2 sahaja pilihannya;
1. berubah menjadi lebih positif
2. berubah menjadi lebih negatif

dan, aku memilih perkara 1 untuk diri dan kerjaya aku. Disebabkan di sini tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan kepada perkara 1 ini, maka aku sendiri yang perlu keluar mencarinya.

Betul kan tindakan aku? Bukan kesetiaan yang menjadi persoalannya di sini. Tidak timbul sama sekali. Cuma kesetiaan yang bagaimana mahu aku tunjuk dan nikmati? Kalau syarikat sudah tidak menghargai pekerjanya, apa kamu terhegeh-hegeh lagi di situ. Cabut saja lah!

Oh! APC? Itu bukan satu bentuk penghargaan. Kalau kamu bekerja dengan betul, kamu berhak untuk itu. Itu hak kamu! Ingat itu. Tapi..., tak tahu lah kalau-kalau pemberian itu pun ada unsur-unsur tidak jujur di dalamnya. Ermm.... biasa terjadi dan kebanyakkannya memang begitu kan?

Tidak kisah lah. Paling mustahak, aku sudah tergedik-gedik mahu lompat tempat kerja. Mahu hirup suasana baru, mahu dapat kawan baru, mahu rasa duit gaji dari Bendahari yang baru!

Harap-harap murah rezeki aku nanti dan bertambah-tambah hendaknya.

Friday, February 13, 2009

Jom Tengok Wayang!

Hari ini aku ke ofis. Mahu habiskan sedikit kerja setelah 2 hari berkursus. Sambil menghabiskan kerja-kerja yang bertimbun di 'pigeon-hold', aku menganga depan peti televisyen. TV3 sedang menayangkan The Making of Geng & Upin dan Ipin. Banyak kali TV3 tayang segmen ini, cuma kali ini aku paksa untuk tengok. Menarik rupa-rupanya. Gelak besar aku dibuatnya sebab production team yang sporting dan kelakar. Patut pun. Kerja semacam mereka, karektor pun sama saja.

Maka, dengan itu aku mahu tengok movie ini. Mahu sokong mereka. Harap GENG dalam siri PENGEMBARAAN BERMULA boleh buat aku gelak besar juga di panggung nanti.

Saturday, February 7, 2009

Giliran Aku Jadi Boss

Aku ada exam. Sudah lama aku tidak perlu berdepan saat-saat mencemaskan seperti ini. Walaupun banyak lagi perkara mencemaskan boleh berlaku, tapi peperiksaan adalah salah satu daripadanya.

Peperiksaan kali ini lain sedikit. Aku ala-ala bersungguh-sungguh. Bersemangat mahu ke dewan peperiksaan. Dan hasilnya... aku ke library mencari buku untuk dipinjam!

Cabaran pasti ada bila kita bersemangat mahu melakukan sesuatu. Seperti sudah dijangka, buku yang dicari tiada di rak walaupun di OPAC masih ada 1 buah untuk di booking. Bila yang dicari tiada, aku beralih arah. Semangat lain mula timbul.

Buku tetap dipinjam. Cuma berbeza dari senarai awal. Aku rasa, buku yang kedua dari atas masih menepati ciri-ciri di dalam pemberian maklumat di dewan peperiksaan nanti. Namun, yang lain-lain tu, aku tidak berapa pasti.

Bila aku sudah meminjam buku-buku di atas, bermakna aku berhasrat untuk membaca. Tapi, aku takut semua itu hanya tinggal hasrat yang kaku. Aku sibuk sahaja kebelakangan ini.

Jangan risau (aku tenteramkan hati sendiri). Aku positif. Oleh itu, buku yang sepatutnya aku jumpa di library, sudah aku pinjam di Bahagian Sumber Manusia. Mereka memang sediakan untuk orang yang mahu berjuang (baca : exam) seperti aku. Buku MALAYSIA KITA terbitan INTAN sudah selamat di tangan. Buku PEKELILING KEMAJUAN PENTADBIRAN AWAM DAN PROFIL PERKHIDMATAN AWAM MALAYSIA juga sudah aku ambil daripada setiausaha Bigg Boss aku. Tinggal lagi nota-nota semasa kursus anjuran Biro Tatanegara sahaja perlu aku cari. Manalah tahu, boleh buat tangkal masa kecemasan nanti.

Peperiksaan seperti ini amat penting bagi aku sekarang. Bukan kerana mahu kejar 'title' atau pangkat, atau mahu jadi Boss. Tapi amat penting untuk pengisian pengalaman dan ilmu. Penting untuk kepuasan diri aku sebenarnya. Jadi, aku ada masa beberapa hari sahaja untuk ulangkaji sebelum exam pada 21 Februari 2009. Selamat berjuang untuk aku! huhuhu...

Thursday, February 5, 2009

Beza antara Aku dan Kamu

Hancur lebur harapan aku. Bila hati sudah terpaut dan semangat berkobar-kobar mahu menyayangi, ada sahaja dugaan yang mahu menggagalkan.

Meeting bersama coach sebentar tadi cukup membuatkan aku lemah tidak bermaya. Tidak ada nafsu mahu berbincang. Langsung tidak teruja mahu berjumpa. Aku tidak mahu!

Apa tidaknya. Sesi perjumpaan yang diatur pada tengahari ini pun aku tidak tahu. Itu pun, seorang team-mate yang beriya-iya mahu menyertai pasukan aku musim ini yang menyampaikannya kepadaku. Menghubungi ku dan memberitahu yang dia akan datang menjemput ku di pejabat.

"Mahu ke perjumpaan bersama-sama..," katanya. Lagipun dia tidak pasti di mana pejabat coach aku. Jadi alang-alang sudah angkat telefon dan berjanji akan ke sesi perbincangan, aku tunggu dan ikut saja ke sana.

Selama sesi latihan bola yang ditangguhkan hampir 2 bulan, aku sudah mula mencari cinta baru. Mula mencari coach baru. Mula membuat latihan yang baru. Lebih menarik. Lebih seksi. Lebih berpeluh dan lebih terdedah bila tiba bab pakaian....hehehe.

Aku sudah mulai suka walaupun dahulu aku mati-mati tidak minat.

Nampaknya kelas aerobik aku lebih menarik dari sesi latihan bola tampar kamu!

Ya. Mungkin. Mungkin faktor penampilan yang membuatkan aku berubah. Atau memang aku sudah mulai bosan dengan team aku sendiri atau aku bosan pada coach? Entahlah..

Otak aku masih lagi berkira-kira. Tidak. Aku masih sayang pasukan aku. Masih sayang rakan-rakan di dalamnya. Cuma.. semangat aku sedikit luntur. Luntur mungkin kerana banyak sangat karenah birokrasi yang macam sampah. Aku muak dan mahu muntah! Aku penat barangkali.

Aku penat tahu tak!? Tengok sahaja sukan rumah yang aku ceritakan dalam entri yang lepas-lepas. Atau tidak banyak yang aku ceritakan di situ?? Hehehe.... Tidak perlu lah kamu tahu banyak sangat. Cukup lah sekadar aku khabarkan di sini yang sesuatu penganjuran program bila melibatkan kos (baca : duit) yang banyak, pasti perbelanjaan yang dibuat akan masuk ke poket mereka yang menguruskannya. Jadi bila orang seperti kami yang bermati-matian bermain di padang, sama ada dalam acara lompat, tampar, tibai, sepak atau sorak-sorai di luar padang tidak akan mendapat habuan yang secukupnya. Maka, kami hanya layak untuk sehelai tuala mandi dan sebiji jam meja atau jam dinding buatan China. Dan perkara seperti ini akan berulang sepanjang musim.

Aku memang akan mengamuk pada pengurus aku bila setiap musim kami terpaksa keluarkan duit pasukan hanya kerana kegagalannya mengurus. Bola murah, yang menyebabkan tangan aku akan bengkak selepas seminggu berlatih. Bola murah biasanya tidak mengikut standard kejohanan sesuatu sukan. Tetapi pembelian bola seperti ini memang cukup membantu di dalam memenuhkan poket mereka yang menguruskan soal keluar masuk duit. Soal kebajikan sama ada tangan pemain akan patah atau bengkak (macam aku) tidak berapa menarik minat mereka. Janji, bila bermain mesti juara!Hampeh!

Jadi, aku tidak lagi berminat ke sesi latihan kamu. Err.. mungkin ke sesi latihan tu, aku kecualikan. Bukan apa, sebab aku kesian sahaja. Tapi, bila tiba waktu bertanding.. aku tidak mahu masuk campur. Aku tidak mahu ikut kamu. Buat lah tour ke mana pun. Aku tidak mahu kisah. Aku hanya mahu ke kelas aerobik sahaja. Aku mahu bayar RM1 untuk tujuan itu. Dengan RM1 aku boleh :
1. belajar bergelek
2. dengar lagu perlahan dan rancak (ala-ala disco dan kelab gelek)
3. tengok diri sendiri bergelek depan cermin
4. tengok diri orang lain bergelek depan cermin
5. gelakkan orang bergelek
6. tengok orang lain gelakkan diri sendiri bila bergelek
7. (eh? takkan mahu senarai semuanya? Bila masa aku nak beraerobik ni??)

Pendek cerita, Aku hanya mahu bantu pasukan aku bagi kejohanan yang akan berlangsung di Pulau Langkawi pada penghujung April ini sahaja. Selepas itu, aku mahu bantu diri aku pula. Kejohanan yang bakal diadakan di Terengganu pada penghujung Jun nanti, pandai-pandailah kamu cari penggantinya. Aku sudah malas. Kalah atau menang, aku tidak mahu kisah!

Monday, February 2, 2009

Sesi Makan Malam

Malam ini agak lain sedikit sebab housemate aku mengajak kami dinner di hotel. Agak janggal bunyinya. Apa tidaknya, selalu hanya aku atau room-mate sahaja yang memberi cadangan mahu makan di mana? Malam ini tidak. Bukan isu makan di hotel menjadi persoalan, cuma kali ini dia yang mencadangkan tempat makan untuk kami.

Aku tidak kisah makan di mana. Hotel atau warung, semua aku terjah.

Selepas bersiap, kami keluar ke destinasi. Semenjak ditukarkan ke bahagian perhotelan, ramai staf-staf di situ yang menegur housemate aku ini. Al-maklumlah, orang berjawatan di situ. Bab yang menarik, apabila diberi potongan 40% untuk staf. Harga dinner set yang hampir RM15 hanya tinggal RM8++ sahaja.

Seperti biasa kalau makan di sini, aku pasti mahu fish and chip. Lagi pula, aku belum tahu apa yang menarik di sini. Kalau mahu nasi goreng atau char kuew teow, baik makan di warung. Lebih 'feel' kata orang. Jadi, fish and chip untuk aku dan rome-mate; chicken chop untuk Duty Manager kita, hehehe....

Malam ini kami menikmati hidangan di bahagian dalam restoran kerana ada dinner group di bahagian luarnya. Agak sejuk di dalam, tapi tidak siapa peduli. Suasana sunyi. Hanya ada 2-3 meja yang berpenghuni. Ini memberi aku ruang untuk merakamkan detik-detik sunyi sepanjang kami di sini.

Aku tidak mahu snap fish and chip di sini sebab aku tidak sabar mahu cekik. Jadi, aku hanya sempat ambil gambar dessert sahaja.

Nampak menarik. Memang menarik, cuma aku tidak dapat menghabiskan ceri hiasan itu akibat kekenyangan. Manakala ais krim itu habis aku telan! Yey!

Sunday, February 1, 2009

Projek Jutaan Ringgit

Petang tadi, sebelum aku balik ke Sintok, aku ikut kakak ke USM untuk menghantar tugasan kepada lecturernya. Walaupun sudah lewat, aku ikut juga. Saja mahu jalan-jalan habiskan cuti sebelum mula berkerja esok.

Sebelum perjalanan dari Jambatan Pulau Pinang berakhir dan memasuki simpang ke Bayan Lepas, aku sengaja merakamkan pemandangan ini. Aku tidak pasti projek apa ini, tapi yang pasti ia mesti melibatkan kos yang tinggi serta tahap kepuasan yang tinggi juga apabila siap nanti. Mahu buat restoran barangkali.

Apa-apa pun, ini sahaja tempat yang ada di negeri Pulau Pinang untuk membangunkan sesuatu projek. Kalau tidak di atas air, pasti di atas tanah (lah) yang pasti ketinggiannya hampir-hampir cecah ke langit. Tapi tidak pula setinggi projek di Kuala Lumpur. Nanti dikatakan mahu lawan KLCC pula.

Satu lagi projek yang mahu aku katakan di sini pastinya Projek Perbesaran Jambatan Pulau Pinang. Setakat yang aku perhatikan petang tadi, masih lagi tidak lancar. Kenderaan yang menggunakan laluan ini tetap banyak. Penunggang motosikal juga terpaksa bersesak dan mencelah di antara kenderaan yang lain. Aku tidak pasti projek melebarkan jambatan ini akan melibatkan laluan untuk penunggang motosikal/basikal atau tidak. (Kamu jangan gelak dan buat-buat hairan. Ingat orang yang naik basikal tak teringin ke guna jambatan ini?) Kalau tidak, pastinya akan mengganggu kenderaan lain dan membahayakan penunggang motosikal itu sendiri.

Tidak tahu bila projek ini dapat disiapkan. Aku jangka dalam penghujung tahun ini atau pertengahan tahun depan. Kamu semak sendiri jadualnya. Pasti ada di dalam surat khabar dan internet. Nanti bila sudah siap, aku mahu pandu uji kelancaran jambatan ini. Pasti tidak ada yang berubah dari segi kepadatan kenderaan yang menggunakan laluan ini kan? Hehehe... aku agak sahaja. Kamu nanti datang cuba juga ya!