Monday, July 13, 2009

Hati Aku Hampir Cair!

Rata-rata di setiap dashboard kereta di tempat kerja, ada bunga mekanikal ini. Sampaikan teman sebilik aku pun turut membelinya.

Hari itu, aku dan teman jalan-jalan di Mall, kami terpandang robot comel itu dan teman aku terus beli tanpa berfikir panjang. Mengeluarkan RM12 untuk harga pertukaran.

Lewat petang itu, kami jalan-jalan lagi, tapi kali ini ke pasar malam pula. Aku mahu makan sate, jadi siri pencarian pun bermula. Sebelum sampai ke stall sate, kami lalu di satu stall yang jual mekanikal bunga. masalahnya, bunya-bunya di stall itu lebih cantik dan terdapat bukan saja bunga, malah kumbang dan lebah pun ada dijual. Harga Pertukaran RM10. Berbulu je mendengarnya.

Balik ke rumah, keluarkan robot dari kotak dan letakkannya menghala ke cahaya lampu. Seperti di pukau, bunga terus berkuak. Kami juga terpukau, terdiam hampir 2 minit melihat makhluk buatan comel itu. Seperti bernyawa saja lagaknya. Seperti mahu siram air supaya ia terus hidup dan membesar. Heh!

Oh! Robot itu hanya untuk kereta teman aku. Kereta aku tidak teruja dengan robot-robot comel seperti itu. Takut hancur dikerjakan oleh pemandunya nanti.

Thursday, July 9, 2009

Si Dumpling


Ini merupakan percubaan kedua aku dan teman sebilik dalam cabaran menghasilkan dumpling dambaan jiwa.

Walaupun percubaan pertama tidak menjadi seperti yang diharapkan (kerana aku tersalah maklumat lalu menggunakan kulit popia untuk proses membuat dumpling, lalu aktiviti menghasilkan sup dumpling berakhir dengan makan popia goreng), namun aku lebih berhati-hati kali ini agar kulit yang digunakan betul-betul kulit yang sesuai.

Gambar di bawah merupakan role model dan penanda aras kepada hasrat murni kami di dalam menghasilkan dumpling pujaan hati.

Ya. Aku tahu tiada hiasan lain di gambar pertama. Hanya dumpling semata. Untuk makluman kamu, aku dan teman sebilik telah menghasilkan satu periuk sup dumpling dan kami amat kekenyangan hanya makan dumpling malam itu.

(Haaiii...punyalah kemaruk mahu masak dan makan dumpling, itu lah jadinya.)