Monday, March 28, 2011

Undangan

Hari ini birthday kawan aku. Jadi, husband dia ada kejutan untuknya. Maka, Si Husband dengan perasaan teruja menjemput aku dan beberapa teman untuk menjadi sebahagian daripada rancangan gempak dia. 

Aku puasa hari ini. Puasa sunat, jadi perasaan teruja itu agak malap daripada biasa. Demi kawan-kawan, apa salahnya memeriahkan undangan. Boleh jugak berbuka puasa dengan menu istimewa. Malam ini makan steamboat. Hehe... bukan istimewa sangat pun makan steamboat kat tempat pilihan malam ini, tapi demi kawan-kawan, aku cuba berdrama queen sebagus mungkin.

Alah, layankan saja.

Wednesday, March 23, 2011

Hidup Aku Seperti Jigsaw Puzzle

Itulah sebabnya aku agak berat nak hebahkan kepada kawan-kawan kalau aku ke Kuala Lumpur. Takut ada yang kecik hati. Aku tak dapat nak penuhi semua undangan sosial setiap orang. Mungkin, kalau berkereta agak ringan sedikit bebenan masa untuk berjumpa. Tapi, kalau menggunakan kenderaan awam samada darat atau udara, memang sangat berat mengatur langkah ke setiap destinasi. 

Namun, bukan bermakna aku akan berjumpa hanya seorang teman sepanjang urusan aku di sana. Mana yang sesuai dengan masa senggang aku, boleh saja diajak berlibur. Cuma, tempoh masa untuk bersama tidak dapat dilanjutkan sehingga 24 jam. Separuh hari, atau beberapa jam untuk lepak di kedai makan sudah berbaloi. 

Jadi, aku cuba buat kira-kira agar semua pihak berpuas hati. Kalau aku gagal, aku perlu menggunakan perancangan kecemasan atau lebih tepat, Master Plan. JANGAN BAGITAU SESIAPA PUN PASAL KEPERGIAN AKU KE SANA. Settlekan segera urusan, kemudian pulang dengan lapang dada. Aku tak jumpa mereka, mereka juga tak berjumpa aku. Fair.

Thursday, March 17, 2011

Ilmu 'Alam'

Sesampai di ofis, terus mencari-cari vaseline di dalam handbag. Colek sedikit isi perutnya yang jernih itu lalu aku sapu di ibu jari kaki kanan. Dah lama rasa sengal ni mencucuk-cucuk setia kali berjalan. Mungkin signal untuk aku berseliper nipis ke pejabat selepas ini. Tiada lagi wedges atau high heels. 

Mungkin, itu juga yang berlaku bila hati kita berdebar-debar ingatkan seseorang. Satu persatu wajah yang dirindui atau segala kenangan manis ketika bersama menghentak-hentak kotak hati dan jantung. Atau, mungkin juga perasaan sunyi menyebabkan arkib di kepala kita mula memutarkan semula rekod-rekod lama yang dah berhabuk. Maka, tindakan seterusnya bakal mengejutkan teman-teman yang sudah lama tidak dihubungi. 

Entah. Aku cuma simpulkan sendiri setiap perkara atau tindakan yang dilakukannya. Perasaan takut dan malu kerana sudah lama tidak bertanya khabar itu memang akan ada. Tapi jika kamu mahukan sesuatu, usah dipeduli semua perasaan yang bakal menutup segala peluang. Untuk mendapatkan sesuatu ilmu, kamu perlu peka. Kutip setiap yang berlaku dalam hidup kamu sebagai pengajaran di kemudian hari. Tapi, bila bercakap pasal diri orang lain, agak sukar untuk berbuat apa-apa kalau orang itu sendiri tidak mahu memulakan sesuatu pembaharuan dalam hidupnya. Kalau ikutkan hati aku, mahu saja aku lecture puas-puas. Tapi manusia ni lumrahnya begitu, tunggu terantuk baru lah nak sedar dan akui yang dinding batu itu keras rupanya.

Wednesday, March 16, 2011

Vakum

Seluruh tenaga aku semacam disedut oleh setiap ruang di segenap penjuru bilik yang aku huni. Kering. Mata aku jadi letih. Jari-jemari kaku. Tapi otak aku ligat berkeliaran mahu mencurah-curahkan idea yang terbuku di setiap sendi kepala. Arghhh..! Sesak. Aku kalut mahu menyelamatkan semua idea-idea supaya setiap dinding blog ini penuh. Tapi, sistem pergerakan badan seperti tidak mahu bekerjasama. Bunga-bunga di hati juga sibuk mahu bercambah ketika ini. Kelopak-kelopak yang galak berputik, rancak mengetuk-ngetuk deria perasaan supaya berbuat sesuatu. Aduh. Mana satu ni?

Apa-apa pun, aku perlu terus berbisik kuat agar sistem logik aku terus celik dan fokus. Ada banyak lagi teka-teki yang perlu aku rungkai dan selesaikan. Juga bahan-bahan pembacaan yang perlu aku habiskan kerana terlalu lama aku pinjam. Tentu tuannya sudah mula berkira-kira bila masa yang sesuai untuk memulakan perhitungan dengan ku. Aku juga mula merangka untuk wujudkan sejenis hobi baru.

Menjahit. Hey! Jangan ingat ia idea yang kelakar. Satu pelaburan yang baik untuk masa depan. Hujung minggu mungkin masa yang sesuai untuk ke kelas. Kena mula mencari-cari peralatan yang paling tajam. Gunting dan jarum. Oh, jangan dilupa benang dan measurement tape.

Wish me luck!

Monday, March 14, 2011

Biasa-biasa Saja

Bila diamati, aku tidak mempunyai lagu-lagu yang boleh aku dendangkan bagi menggambarkan rasa kekesalan aku meninggalkan seseorang; kerana aku tidak pernah meninggalkan seseorang atau pun sekumpulan orang. Maksud aku, memulakan perpisahan. Maka, bila aku enjoy dengan sesebuah lagu berkaitan dengan tema meninggalkan, ia hanya kerana lagu itu sedap untuk didengar.

Kamu percaya hukum karma? Ya, aku percaya kerana bila kita menanam benih padi, maka kita akan mendapat padi di kemudian hari. Kita tidak mungkin mendapat pokok getah. Tapi, berkemungkinan benih-benih yang tidak kita tanam juga akan datang menempel sekiranya tidak dijaga dengan baik. Contohnya, pokok lalang dan bermacam jenis musuh pokok padi. Tapi, itu kes lain.

Bila kamu beri yang baik, akan dapat balasan baik. Jika tidak, akan berlaku sebaliknya. Tapi, jangan pulak kamu menipu hanya kerana tidak mahu berterus-terang semata-mata mahu menyatakan perkara baik sedangkan hakikatnya sangat menyakitkan hati dan telinga. 

Berterus-terang itu perkara lain dan menipu juga perkara lain.

Jadi, dengan berterus-terang mengenai sesuatu perkara, walaupun ia amat memedihkan, ia bakal menjadi sesuatu yang melegakan jiwa setelah kamu kaji akibat daripada perlakuannya.

Oleh itu, tanamlah benih padi dan berharaplah ia menghasilkan pokok padi yang baik. Namun, jika pokok padi tidak juga menampakkan hasilnya, sudah pasti ada salah di mana-mana. Dan, jika pokok getah yang tumbuh, itu memang ajaib kerana, pokok getah mana boleh hidup di dalam air. Heh!