Tuesday, March 31, 2009

Aku Tidak Menjangkakannya (datang) Terlalu Awal

Apa yang mahu aku katakan lagi. Ianya satu rezeki barangkali. Tuhan sudah mengabulkan permintaan aku walaupun tidak seperti mana yang aku harapkan. Dia lebih mengetahui, dan aku harus bersyukur atas rahmat ini.

Hasrat aku untuk berpindah atau bertukar tempat kerja akhirnya terjawab bila semalam aku menerima satu panggilan keramat dari seorang setiausaha di Bahagian Penjawatan.

Setiausaha : Perjumpaan akan di buat jam 10 pagi di Pejabat Timbalan.

Aku : Siapa lagi yang di panggil ke sana?

Setiausaha : Tak ramai. Lebih kurang 6 orang saja.

Aku : Boleh saya tahu perjumpaan ini berkenaan apa ya?

Setiausaha : Maaf. Saya pun tak diberitahu mengenai perkara tersebut.

Bila kamu dipanggil ke suatu perjumpaan penting tetapi tidak di maklumkan mengenai agenda utama mengenainya, sudah tentu bermacam-macam spekulasi akan dibuat. Bila perjumpaan penting hanya melibatkan 6 orang saja, aku sudah dapat ramalan yang pemilihan penjawatan akan berlaku.

Pagi tadi, ada seorang rakan menghubungi aku di pejabat. Dia juga di panggil ke perjumpaan tersebut. Dia juga termasuk di dalam senarai 6 teratas itu. Daripada dia aku mengetahui yang satu temuduga kecil akan di adakan. Sah! Rezeki tuhan sudah terpancar di hujung jalan. Dan pancaran itu terasa semakin dekat.

Sebelum sesi soal-jawab bersama Timbalan, aku sudah berasa yang rezeki itu memang ditakdirkan untuk aku kerana semua calon seakan tidak mahu memberikan respond yang positif. Tambahan, semuanya sudah berkeluarga dan merasakan komitmen keluarga lebih penting (dan ya, macam la aku tidak ada keluarga kan?). Ya,ya, aku akui tanggungjawab aku kurang sedikit daripada kamu semua sebab aku masih single. Jadi, aku dipilih untuk memulakan tugas aku di Pejabat Timbalan.

Tapi, ianya terlalu awal. Aku mahu ke sana tapi bukan dalam masa terdekat. Kerja-kerja aku di sini masih belum selesai. Sekurang-kurangnya biarlah sehingga Julai. Biar aku langsaikan tugas-tugas aku sehingga Julai. Aku akan negotiate dengan Big Boss esok kerana hari ini dia bercuti.

Sunday, March 29, 2009

Tidak Ada Yang Logik Bila Bercakap Tentang Emosi

Tumpuan aku di tengah gelanggang ketika perlawanan futsal pada petang Jumaat baru-baru ini terganggu oleh satu message text yang tiba-tiba.

Dia : Awak sombong la sekarang. Mesage pun tak balas. Tau la sibuk, apa salahnya kawan. Kalau ada apa-apa yang buat awak marah, saya minta maaf. Bukan niat saya dulu nak main-main dengan awak, itu je. Apa-apa hal maaflah.

Nak gelak pun ada, nak campak handphone aku jauh-jauh ke tengah gelanggang futsal pun ada. Apa hal pulak ni? Walaupun hati panas, tapi di sebabkan mahu menjaga hubungan sesama insan yang bekerja di dalam satu company, aku balas dengan se-profesional yang mungkin.

Aku : Laa.. Awat kata lagu tu? Mana ada sombong. Kredit kosong nak balas pun. Kata kawan, kawan mana boleh pikiaq yang bukan-bukan kat kawan sendiri.

Dia : Yeke? Sorry la. Saya tarik balik kata-kata tu hehe.. Maaf sekali lagi. Rindu kat awak punya pasal yang jadi macam ni. Tadi nampak awak, tu pasal hantar message.

Ikut sedap mulut saja. Lepas kutuk baik punya, minta maaf.

Aku : Itu la. Saya nampak jugak tadi tapi tak sempat nak honk, cuma sempat sengih je.

Dia : Nampak jugak ek? Ingat tak nampak. Okey, mungkin awak pun ada keje sebab nampak laju je bawak kereta.

Tak faham Betul. Aku sengih sikit punya lebar tadi, dia ingat aku tak nampak dia? Alahai.. Aku dah penat layan perangai-perangai macam ni (kecuali kalau aku suka orang tu, itu kes lain). Jadi tak perlu merajuk-merajuk dengan aku lagi. Jadi gentleman boleh tak?

09:00 jam - 21:00 jam

Memandu laju dan perlahan ke Pulau Mutiara sudah menjadi perkara biasa bagi aku. Cuma perjalanan dengan tahap pemanduan laju dan perlahan kali ini berbeza daripada biasa kerana aku ditemani oleh seorang teman se-ofis.

Tidak ada apa yang menarik mengenai perjalanan kami cuma berbual dengannya membuatkan aku benyak berfikir tentang kehidupan. Jalan hidup aku dan dia memang berbeza tapi masih ada sebait dua yang boleh aku padan suaikan mengikut hidup aku.

Entri kali ini bukan hal kehidupan yang mahu aku bangkitkan. Cuma lebih kepada menunjuk-nunjuk kasut baru yang aku beli tempoh hari. Hehehe...

Lebih untuk kegunaan di pejabat atau majlis-majlis rasmi. Paling penting bajet aku tidak lari dari target asal.

Wednesday, March 25, 2009

Aku Mahu Keluar Berburu..

Aku terima majalah ini beberapa hari lepas. Bagus strategi pemasaran mereka, seakan tahu gaji hampir diagihkan ke akaun bank aku. Destinasi bajet yang dirancang bersama geng tidak menjadi, lalu aku dan The Voice harus melaksanakan plan B seperti yang dipersetujui.

Destinasi plan B kami tentunya Pulau Mutiara. Itu saja pilihan yang ada. Paling penting aku mahu keluar dari lembah hutan dan mula bersantai dan menghirup angin pantai pula. Dengan itu aku akan bercuti esok. Harap dapat bawa balik 1-2 pasang kasut baru dari sana. Yey!

Tuesday, March 24, 2009

Lagi Bunga-bunga Pahala Gugur

Hati aku suci. Tapi bila ada perbuatan-perbuatan yang palsu jelas berlaku di depan mata, bakal membuatkan kesucian hati aku tercalar.

Bila semalam Big Boss aku bercuti (maka secara logik akal tiada di pejabat) dan ada tubuh lesu tidak berdaya mahu ber-meeting yang sengaja menyalakan api kemarahan aku tiba-tiba jadi ceria dan kembali bertenaga hari ini sebab Big Boss sudah masuk ke pejabat. Aku yang tulus ikhlas ini tidak mahu berfikir yang kotor tapi bila secretary Big Boss sendiri paksa aku tengok dengan hati aku (yang satu lagi) membuatkan mata aku ternganga besar. Memang ketara 'angin kipas' nya bagai berterbangan rambut aku setiap kali dia melintasi cubicle kami.

Wajah ceria itu bagus. Motivasi untuk semua crew. Tapi ceria biarlah datang bersama keikhlasan, baru aura-aura positif akan terlekat pada kamu.

Simpati Aku Pada Kamu

Semalam aku balik agak lewat dari pejabat. Kebetulan ada beberapa crew yang perlu kerja lebih masa malam ini kerana terlibat dengan majlis anjuran company. Kusyuk membuat kerja di hadapan komputer, aku ternampak adik aku Boon online di Yahoo! Messenger. Agak hairan kerana dia sepatutnya bekerja hari itu.

Berbual dengan dia buat aku kesian pula. Demam dan sakit-sakit belakang membuatkan dia m.c dan berehat di rumah. Kos ubat dan m.c semuanya RM45, dia mengadu. Apa boleh buat. Macam itulah hidup di bandar besar. Walaupun Alor Setar pun bandar juga, tapi tidaklah tinggi taraf hidup di sini. Di sana, harus pandai rancang perbelanjaan (ya, aku tahu. Di mana-mana pun kita harus pandai merancang perbelanjaan). Jadi, perlu sedar akan kemampuan diri. Perlu belanja mengikut pendapatan. Kalau dapat banyak fulus, keluar belanja tinggi. Kalau dapat ciput, keluar belanja sedikit terjejas.

Aku teringat kata-kata abang aku. Malas hidup di Penang sebab semuanya perlu terkejar-kejar. Perlu berlumba-lumba dan berebut-rebut. Umur semakin meningkat, tapi hidup tidak aman dan sentiasa risau. Tidak ada ketenangan. Tinggal di rumah berhampiran pusat bandar, pergi kerja sentiasa jammed. Balik kerja jammed lagi. Mahu keluar berlibur di hujung minggu pun malas sebab jalan sentiasa sesak, shopping complex apatah lagi.

"Jadi, carikan kerja kosong di tempat kamu ya dik?"

Ah! Sudah. Mahu pindah kerja ke tempat aku pula. Dia mahu bekerja di lembah ini. Di kawasan yang banyak pohon-pohon Sintok yang muda dan tua. Lembah yang banyak kera-kera educated (maklumlah, kera tinggal di universiti) dan penghuni-penghuni yang perasan educated!

(Ya, aku carikan kerja untuk kamu tapi selepas aku dapat kerja di tempat lain okey?)

Lalu, aku minta Boon bersabar sebab itu saja yang boleh aku cakap. Kalau ada rezeki aku di sana nanti, mungkin bila kamu demam atau sakit-sakit, kamu guna saja nama aku di mana-mana klinik panel. Jangan risau, semua itu permainan dunia. Paling penting, kita perlu tahu peraturannya.

Monday, March 23, 2009

Sabar itu Banyak Pahalanya..

Hah! Suka-suka saja suruh aku ke meeting petang ini padahal meeting itu petang esok.

Dan suka-suka saja buat aku panas dan mendidih hari ini. Kurang pahala aku.

Esok kita tengok pula apa jadi.

Kesabaran Aku Teruji

Aku perlu luahkan. Di sini.

Mungkin aku jahat, aku tidak tahu. Tapi aku sedang bersangka-sangka yang tidak baik sekarang. Mungkin nasib aku, atau hanya aku yang tidak faham. Kecil sahaja masalahnya. Aku tahu. Aku sengaja mensensasikan perkara ini. Tapi aku geram. Sangat geram!

Aku perlu tingkatkan aura-aura positif dalam sistem aku mulai saat ini sebab aku perlu hadiri MEETING petang nanti. Ya. Perkara yang berkaitan dengan huruf 'M' yang sengaja aku besarkan di situ. Bukan agenda aku, tapi aku perlu mewakili seseorang ke sana. Aku ulang sekali lagi, seseorang. Seseorang yang baru disahkan mengandung 5 minggu. Seseorang yang datang berkerja hari ini, tapi tidak berdaya melaksanakan kerja-kerja yang dipertanggjungjawabkan kepadanya. Jadi apa maknanya kamu datang berkerja 'hari ini'? Baik kamu bercuti saja di rumah.

Ah! Memang aku tidak adil. Tidak patut menghukum kerana dia ibu yang mengandung. Sebagai insan yang sihat macam aku, seharusnya bertimbang rasa terhadap ibu yang mengandung. Aku perlu berbakti kepada mereka. Perlu memberi tempat duduk aku di dalam bas atau komuter jika semua tempat duduk penuh. Perlu membawa barang-barang yang mereka beli sebab mereka tidak berdaya. Banyak lagi yang PERLU aku lakukan kepada mereka.

Tapi, itu kes lain. Sekarang aku di ofis. Ibu mengandung ini boleh memandu ke pejabat, tidak beli banyak barang dan jika ya pun, dia ada suami yang boleh menolong. Dia juga sengaja mengambil kesempatan ke atas aku yang baik ini. Itu yang aku geram sangat. Semua kerja-kerja dia yang buat, alih-alih bila tiba untuk meeting, aku pulak yang kena pergi mewakilinya sedangkan dia ada di pejabat kerana tidak sihat. Mana dia tahu yang petang nanti dia akan sakit? Ada orang ambil M.C in advance? Doktor pun menyampah mahu rawat pesakit macam itu.

Aku perlu positif. Boss sudah meminta sedikit masa aku untuk ke meeting petang nanti. Jadi aku perlu hadir ke sana sebagai seorang profesional walaupun hati aku panas dan mendidih.

Sunday, March 22, 2009

Mari Masuk Kelab Gelap

Malam tadi, aku berbual-bual kosong dengan teman sebilik. Macam-macam topik kami cerita dan bila sampai ke topik Earth Hour, dia tiba-tiba memberi cadangan.

Dia : Eh, Earth Hour tu kan?
Aku : Hah, kenapa?
Dia : Jom join.
Aku : Hahaha... apa yang susah sangat. Dorang suruh tutup lampu sejam. Join je la. Bukan susah pun. Lepak je dalam gelap tu.

Aku sambung gelak. Dia pun ikut gelak juga.

Bila difikir-fikirkan, ada betulnya. Memang patut kamu sertai. Tapi kempen ini bukannya memerlukan kamu berkumpul di kawasan lapang dan bawa sepanduk. Samada kamu tutup semua lampu dari jam 8.30 malam kemudian keluar rumah untuk berlibur, dan balik jam 9.30 malam (berlibur apa hanya 1 jam?). Atau kamu tutup semua lampu dari jam 8.30 malam dan terus berada di rumah sambil menikmati suasana gelap sehingga jam 9.30 malam.

Mungkin keterujaan untuk menyambut kempen ini adalah berbeza kerana sambutan di buat dalam kegelapan. Aku juga teruja mahu melihat Jambatan Pulau Pinang bergelap selama tempoh itu.

Saturday, March 21, 2009

Kejadian Pagi Itu

Petang semalam, lebih kurang jam 4.00 petang, Mr. Mechanic menelefon aku. Aku semacam malas menjawab sebab baru terjaga dari tidur. Mahunya tak tidur, hujan lebat di luar dari pagi hingga ke malam.

Dia menceritakan bahawa hajat untuk memancing di sebuah pulau di sini (berdekatan Yan, Kedah) tidak kesampaian kerana dia dan kawan-kawan terlibat dengan kemalangan di Tanjung Malim. Maka ketika dia bercakap dengan aku, dia masih di Kuala Lumpur.

Dia atau lebih tepat lagi, kereta yang dipandunya melanggar seoarang wanita muda berketurunan Cina di lebuhraya menghala ke Utara. Kepala wanita itu hancur.

Tapi dia tidak gentar sebab, semasa kejadian dipercayai wanita itu memang sudah terlibat dengan kemalangan yang lain di awalnya. Jadi, dia yang tidak bernasib baik ketika itu merupakan orang kedua yang melanggar tubuh wanita tersebut (aku tidak pasti samada wanita itu masih hidup atau sudah mati ketika dilanggar). Erm.. kalau aku mahu fobia setahun! Kepala hancur tu beb!

Sekarang, keretanya di tahan di balai polis untuk siasatan lanjut. Kesian Mr. Mechanic. Bersabar okey. Cerita pasal kemalangan ini ada keluar Buletin Utama di TV3 malam tadi tapi aku tidak pasti mengenai isi berita sebab sibuk berbual dengan makde di telefon.

Sebentar tadi si Mr. Mechanic telefon lagi. Ceria saja suara macam tidak ada apa-apa yang berlaku. Erm.. hidup mesti di teruskan, katanya.

Biru Mata Kucing Ku

Gambar yang akan aku tunjukkan di sini bukanlah binatang peliharaan aku. Kebetulan aku rakam semasa aku dan 2 orang rakan ofis makan di sebuah cafe pagi tadi. Apa yang menarik perhatian aku ialah mata kucing ini berlainan warna. Memang ada terjadi sebegini, tapi apa pun kucing ini tetap menarik perhatian.

Kucing ini seakan faham yang matanya memang lain daripada kucing yang lain. Heh! (Suke le tu aku dok rakam gambar dia.)

Apa-apa pun, aku suka memelihara kucing yang pelik macam ni kalau diberi peluang. Dan kalau ada peluang terbuka di depan mata, aku juga perlu melihat kelapangan masa untuk menjaganya. Bukan senang tau mahu menjaga haiwan yang manja ni. Perlu kesabaran yang tinggi.

Kalau aku yang manja, lainlah cerita kan?

Khabar Dari Borneo

Hampir 2 minggu makde ke Negeri Di Bawah Bayu melawat saudara di sana dan selama itu juga aku belum sekali pun bertanya khabar. Jadi malam tadi aku menelefon makde buat pertama kalinya.

Alhamdulillah. Dia sihat. Begitu juga yang lain. Habis berbual dan bertanyakan aktiviti yang dibuat sepanjang berada di sana, makde memaklumkan kepada aku yang dia akan pulang ke semenanjung pada 20 April nanti. Dan juga ada ole-ole untuk aku. Pastinya anting-anting mutiara bakal aku terima, insyallah.

Tidak ada apa yang aku harapkan melainkan selamat pulang ke semenanjung hendaknya.

Wednesday, March 18, 2009

Hilang Tumpuan

Aku tidak boleh focus hari ini. Perut terasa lapar. Minda terjerit-jerit minta disuapkan dengan info terkini perkembangan dunia di luar tempurung hidup aku. Mata pula terasa malas mahu buka dan tubuh masih sakit hasil latihan bola 2 hari lepas. Mahu mengganggu hidup orang lain pun hati semacam memberi amaran supaya jangan mencari pasal.

Akhirnya, aku mampu muntahkan di tunggul ini.

Seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan aku hari ini (dan beberapa hari lepas). Semacam kurang sumber O2 dalam setiap sistem aku. Tiada keceriaan. Tiada degupan kencang di dada aku. No excitement! Aku perlu keluar. Keluar mengembara. Aku perlu memandu. Memandu laju dan perlahan dalam pengembaraan dan perjalanan yang panjang. Aku mahu berkhemah di hutan, aku mahu berkayak di laut, aku mahu mendaki gunung dan semua itu aku mahu buat bersama set sosial aku. Tapi siapa? Tiada siapa mahu buat semua itu sekarang. Mereka sibuk. Ya, aku juga sibuk. Tapi sibuk kamu dan aku ada hadnya.

Tidak mengapa. Jika kamu tidak mahu ikut, biar aku mengembara seorang diri. Aku merajuk. Jangan selepas ini kamu merungut dengan aku bahawa aku pergi tidak ajak kamu pula. Sudah kamu tidak mahu ikut. Jangan salahkan aku ya?

Persoalannya, aku mahu ke mana? Destinasi bajet yang dirancang semacam tidak menjadi kenyataan. Apa punya geng? Geng hangat-hangat-tahi-ayam sahaja. Aku merajuk dengan kamu juga.

Nasib baik The Voice mahu buat Plan B. Kami mungkin pusing-pusing Penang nanti. Padan muka kamu (Geng Jahat). Kenapa tidak apply cuti awal (macam aku dan The Voice). Sekarang Big Boss sudah keluarkan fatwa bahawa cuti-dibekukan-dari-22 Mac 2009-sehingga-31 Mac 2009. Padan muka kamu lagi. Kalau kamu seakan terasa mahu menyesal, padan muka kamu. Aku suka kamu menyesal. Penyesalan kamu buat aku puas. Puas sebab kamu terpaksa lepak di ofis sambil buat kerja sedangkan aku boleh memandu laju dan perlahan ke Pulau Pinang. Yey!

Aku belikan jeruk untuk kamu nanti.

Tuesday, March 17, 2009

Lena Yang Indah Terganggu Juga

Awal pagi sebelumnya sudah diganggu. Ini pagi tadi juga, lagi sekali aku diganggu. Pagi tadi jam 4.15 dia telefon aku. Apa bikin jam itu kamu belum tidur, hah!?

Aku, kalau telefon berbunyi pepagi semacam itu, otak akan tune ia sebagai bunyi alarm. Tanda sudah masanya untuk aku bangun. Tetapi rupa-rupanya, gangguan oleh manusia yang masih belum tidur.

Dua kali deringan yang lama membuatkan aku menghantar message text kepada Si Pemanggil.

Aku : Who's this? Go sleep la..
Dia : Tak boleh tido. Teman sembang boleh..

Mahu saja aku balas ; Nak teman borak, pegi kedai mamak la..
Tapi aku tidak balas begitu. Panjang pulak perbualan aku nanti.

Aku : I don't talk to stranger
Dia : Boleh la. Kita mulakan persahabatan

Gila apa! Mahu cari sahabat jam 4.15 pagi. Aku masih siuman. Tentunya gangguan seawal pagi (oleh orang yang tidak dikenali atau nombor yang tidak dikenali) merupakan satu ancaman. Aku pun tidak tahu apa status jantina Si Pemanggil. Pastinya berlainan jantina dengan aku. Kalau ikut logik akal (aku), kamu yang sesama jantina dengan aku tidak (atau jarang) membuat panggilan seawal pagi (begitu).

Maka, message text aku tamat di situ tanpa sambungan. Aku rasa cerita gangguan ini pasti tidak tamat pagi tadi. Gangguan demi gangguan bakal berlaku. Aku harus segera tukar nombor baru!

Mencari Permulaan

Okey. Ini perjanjiannya. Aku mahu mencari bahan bacaan yang baru. Yang lebih menarik. Yang lebih mencabar minda dan hati. Mungkin sesuatu yang ada kaitan dengan alam semulajadi. Politik atau sesuatu yang berkaitan dengan Malaysia atau dunia kini.

Ah! Semacam tidak ada masa pula. Buku-buku yang dipinjam samada daripada library atau orang perseorangan masih banyak lagi dalam simpanan.

Aku mula dengan buku-buku itu dahulu nampak gayanya.

Monday, March 16, 2009

Berhenti Berharaplah Wahai Hati...

Cis! Perasaan ini sungguh tidak seronok. Agak panjang lebar juga ucapan hari lahir yang aku bagi, pendek saja balasannya. Huhuhu.....

Ya. Aku cuma ucap Si Dia 'Selamat Hari Lahir' dan dia membalas dengan 'Terima kasih'. Betullah jawapan Si Dia kan?

Lain kali aku perlu pandai bertanya bagi membolehkan Si Dia menjawab dengan panjang lebar, betul tak?

Aku tahu, dia pun pasti mahu bertanya panjang lebar pada aku tapi kena kontrol ego. Dia pun malu macam aku juga. Hahahaha.... Toinggg!!!!

Perasan!!!!

Pagi Blues Yang Redup...

Hari ini birthday seorang blogger yang aku kagumi. Aku malas mahu link di sini sebab takut kalau-kalau ada sesiapa yang tersesat di sini akan mengetahui, lalu disampaikan kepada Si Dia mengenai aku. Maka malu besar aku nanti.. Perasaan itu harus dirahsiakan daripada pengetahuan empunya diri, baru ada keistimewaan dan mysterious-nya di situ. Jadi, Happy Birthday Bro.! Welcome to the Club (30sen)!

Pagi-pagi lagi aku sudah nampak kelibat The Gardener. Awal pulak dia hari ini. Apa tidaknya, semalam terasa hati dengan aku sebab kena marah. Lalu merajuk, malas bercakap dengan aku seharian. Aku malas layan.

Aku marah bila kerja yang paling mudah, gagal dilaksanakan. Kerja yang paling mudah tetapi memberi kesan besar jika tidak dilakukan dengan teliti. Ya. Semua kerja pun memerlukan penelitian. Aku tidak pasti jika ada kesan-kesan sabotaj. Maka mungkin nasib kamu tidak berapa baik semalam. Namun, bila kamu lewat ke tempat kerja DAN, kamu telah dipertanggungjawabkan memegang kunci pejabat DAN memaksa rakan-rakan yang datang awal ke pejabat untuk menunggu kamu, itu aku susah mahu terima.

Aku tidak marahkan kamu kerana itu. Tapi sikap kamu buat aku... (tidak ada perkataan mahu aku gambarkan di sini). Ada rakan sekerja yang agak bengang dengan kamu. Lalu bertalu-talu tusukan laser yang keluar dari mulut mereka menikam hati kamu. Ditambah dengan amukan aku, memang bikin hati mendidih. Ya, aku faham. Mood kamu hilang seharian. Ambil ia sebagai ingatan.

Dan pagi ini, aku tetap malas layan kamu. Sebab aku telah ambil bahagian aku. Aku juga turut mengambil peringatan dari perkara-perkara yang berlaku. Selepas ini, (mungkin) biar aku saja yang buat semua kerja!

Saturday, March 14, 2009

Keluar Mencari Semangkuk Nasi Bersama Dua Potong Ayam

Petang Jumaat aku keluar ke pasaraya. Mahu membeli sedikit barang dapur sambil menikmati makan tengahari. Tahu jam berapa aku lunch? 4.00 petang. Hampir-hampir ke waktu makan malam. Menikmati makan tengahari sambil melihat mereka bermain bowling amat menyeronokkan.Satu pemandangan baru bagi aku. Food Court yang terletak di antara bowling alley dan panggung wayang ditambah dengan makanan yang lazat... buat aku dan teman sebilik tersengeh gatal.Aku mahu nasi. Jadi ini makan tengahari aku.

Teman aku pula tidak mahu nasi. Jadi hanya lauk untuknya. Nasi goreng ayam (walaupun aku order yang lain pada awalnya) dan chicken chop dengan sepotong garlic bread pastinya membangkitkan ghairah untuk kami sama-sama melicinkan pinggan hidangan.

Kamu tentu sudah tahu. Tidak sah bagi aku jika tidak merakamkan aksi makanan-makanan yang sexy sebegini untuk tatapan. Memang berbaloi! Kalau mahu tahu lokasinya, jangan malu-malu untuk bertanya aku.

Hati Aku Berbunga

Aku dapat earing baru. Baru tengahari tadi. Seorang PR Officer di tempat aku bekerja yang bagi. Dia cakap student dia dari China yang bagi. Disebabkan dia bertudung dan earing ini agak pendek juntaiannya, maka dia hadiahkan kepada aku. Jika juntaian batu berlian itu panjang lagi 2-3 inci, mungkin dia masih lagi boleh berfesyen dengan memadankan tudung ala Ekin-Mawi dengan subang tersebut. Mungkin sudah rezeki aku.

Walaupun agak reject sedikit, tetapi masih tetap cantik. Apa kisah, orang bagi, lagi banyak songeh kan. Terima kasih kepada si pemberi, aku suka sangat macam mahu melompat!

Antara Madu dan Racun

Ini milik seorang rakan aku di pejabat. Aku gelar dia The Gardener sebab dia menjaga pokok bunga milik aku (apa cerita pokok itu? sudah mati agaknya).

Antara ubat untuk sesi pemulihan (bakal tinggal angan-angan) dan bahan untuk pembakar hati yang dipuja hingga ke saat ini. Aku tidak pasti keberkesanannya. Tetapi berdasarkan pemerhatian aku, ada perubahan daripada pengambilan gam kunyahan tersebut. Daripada filter cigarette kepada pengambilan rokok daun. Cis! Takde taste langsung! :P

Tapi tidak apa. Asalkan kamu tidak melakukan aktiviti fogging berdekatan aku, itu cukup memadai. Tetapi aku masih tidak kisah, jika kamu masih tetap berdegil mahu ber-fogging di sekitar aku. Tapi terpaksalah tahan sedikit panahan laser yang bakal keluar dari mulut aku nanti. Takut-takut bukan setakat hati kamu saja yang bakal terbakar, malah muka, tangan dan cubicle kamu juga bakal rentung di-laser. Hehehehe... aku gurau saja.

Hasrat kamu baik. Untuk berhenti merokok. Ada semangat di situ. Tetapi pastikan semangat harus selari dengan usaha yang gigih. Jadi, selamat berhenti merokok ya!

Thursday, March 12, 2009

Meredah Hutan Dara...

Sudah lama tidak beriadah ke air terjun. Namun pagi itu, aku berpeluang ke situ. Kalau kamu ber-picnic, pastikan rombongan yang akan menyertai haruslah di kalangan yang tahan lasak. Sanggup meredah hutan belantara, menuruni bukit dan anak tangga yang beribu-ribu jumlahnya. Selain itu, etika berpakaian perlu sesuai. Tiada kasut tumit tinggi, apatah lagi alat solek. Tapi jika mahu juga, aku boleh buat apa? Suka hati kamu lah..

Tengoklah laluan anak tangga sebelum ke tempat mandi. Memerlukan semangat dan kekuatan yang jitu. Walaupun peralatan picnic dan bekalan makanan penuh di tangan, tetap aku gagahi menuruni laluan. Anak buah aku (Nayli dan Nisa) sudah terlompat-lompat di hadapan, jauh meninggalkan aku. Sementara makde sudah bising-bising di bawah suruh aku cepat turun dan jangan sibuk mahu bergambar.

Hutan Rekreasi Batu Hampar memang kawasan berdaulat. Semasa gambar ini dirakam, ada seorang budak kampung sedang memanjat pagar di rumah rehat ini. Aku terkial-kial di luar pagar mengambil gambar, manakala budak itu tertonggek kesusahan memanjat pagar. Maaflah, aku bukan seorang rakyat yang prihatin mengenai kes pencerobohan kawasan larangan seperti ini. Bukan kerja aku. Aku akan hanya kisah jika budak itu mencerobohi hutan dan membuat onar di dalam hutan contohnya seperti pembalakan haram, pembuangan sampah atau bahan kimia, bla bla bla... Pendek cerita, benda-benda yang akan mencemarkan alam sekitar.

Biar susah dahulu, senang kemudian. Tengok sahaja hasil dari perjalanan yang sukar sebelum tiba ke tempat dituju.

Hari itu, aku mandi air bukit sepuasnya.

Penghuni hutan yang sempat aku rakam di situ.

Kesimpulan dari riadah hari itu amat menyeronokkan. Tambahan pula dapat meluangkan masa dengan mereka yang tersayang cukup menenangkan jiwa. Aku mahu ucapkan terima kasih kepada jurugambar-tak-profesional aku sebab bersusah payah snap gambar ketika aku sibuk memandu. Banyak lagi percutian keluarga yang bakal aku rancang. Mungkin aku masih perlukan khidmat kamu nanti hehehe....

Wednesday, March 11, 2009

Bosannya..

Pernah tak kamu bosan, lalu tangan kamu gatal menaip perkataan di telefon lalu menghantar text message kepada beberapa orang dengan tujuan mahu mengganggu?? Atau dalam bahasa mudah, kamu mahu kacau hidup orang lain sebab kamu kebosanan di tahap maksima??

Pernah?

Aku selalu buat begitu. Heh!

Dan pernah tak dalam beberapa text message yang kamu hantar, tidak satu pun dibalas? Kalau dibalas pun, ketika kamu sudah tidak ada mood untuk berbual.

Semua itu pernah terjadi. Biasanya mood seseorang akan turut mempengaruhi keadaan sekeliling dan turut memberi kesan terhadap orang lain. Percaya cakap aku.

Dalam kes di atas, mereka yang menerima text message daripada aku turut mengalami tahap kebosanan yang melampau. Tetapi mereka mempunyai beberapa alasan untuk tidak segera membalas. Mungkin antaranya:

1. Tiada kredit panggilan
2. Tiada sms percuma
3. Sibuk di pejabat
4. Bateri telefon 'kong'
5. Telefon sedang di-charge
6. Sedang memandu
7. Buat-buat sibuk
8. Masih confius dan berfikir : "Apasal pompuan ni text aku hah???" atau
9. Masih lagi berfikir : " Nak reply ke tak?" dan
10. Terus buat keputusan : " Kejap lagi lah aku balas"

Jadi, semua kemungkinan di atas telah membawa kepada balasan text message yang lambat. Dan apabila balasan diterima, aku sudah malas dan tidak ada mood untuk menjawab. Atau aku sudah pun tidur. Maka jangan ganggu jika aku sudah lena dibuai mimpi. Ganggu saja ketika aku bosan. Faham?

Jom BerSosial!

Sebentar tadi aku dan geng berbincang untuk melancong. Destinasi pilihan merupakan destinasi bajet. Tahu kami mahu ke mana? Lawatan sekitar negeri Jelapang Padi atau lebih tepat lagi, lawatan ke Alor Setar dan kawasan berdekatan.

Aku teruja, mereka juga begitu.

Paling penting destinasi utama kami adalah Muzium Padi, Rumah Kelahiran Mahathir, Kota Kuala Kedah, erm...apa lagi? Ishh.. boleh dikatakan semua mahu di lawati.

Sekarang 2 orang dari geng jahat sedang surf website tempat-tempat yang dicadangkan. Bagus jugak kamu ya. Ada kesungguhan mahu ke destinasi bersejarah di negeri ini.

The Voice sudah apply cuti untuk percutian kami. Esok giliran aku pula untuk mohon cuti. Bukan apa, permohonan perlu berperingkat. Nanti Big Boss syak yang bukan-bukan, susah kami jugak kan?

Dilema Di Waktu Pagi

Baru sebentar tadi, The Voice (sila rujuk gambar kaki yang ber-sandal kuning) bertanya samada aku ke sesi latihan petang ini atau tidak. Lalu jawapan aku 'tidak' untuk soalan itu. Cepat-cepat dia mengajak aku ke kelas aerobik yang lama aku tinggalkan.

Aku berfikir. Bukan tidak mahu. Hati melonjak-lonjak mahu pergi tetapi aku takut. Aku takut terserempak dengan rakan sepasukan bola aku atau paling malang, bertembung dengan coach. Kelas aerobik dan latihan bola dibuat di kawasan yang sama iaitu di Sport Arena. Cuma kelas aerobik di buat di dalam dewan manakala latihan bola di gelanggang luar.

"Aku cuba". Itu saja yang mampu aku balas. Kalau aku gila petang nanti, aku akan buat kerja kurang siuman ini. Kalau nasib aku malang, tebal dan merahlah telinga menahan pertanyaan demi soalan yang bakal di tanya oleh rakan sepasukan.

Moga hujan turun dengan lebatnya di gelanggang bola petang nanti. Amin.

Tuesday, March 10, 2009

Konflik Diri Aku

Seorang blogger yang menggelarkan dirinya Dewa Durjana text aku di telefon.

"Kadang-kadang hati tertanya..
adakah kasih sudah bersambut..
atau hanya lakaran kata penyedap jiwa..
menanti kasih.. berputik di penghujung usia..
Adakah kasih tercipta.. atau angan yang tiada penghujungnya"

Aku hilang kata-kata. Tiada balasan. Aku letih sebab seharian mengendalikan program membuatkan otak aku gagal berfungsi secara normal. Bukan malas layan. Kredit panggilan masih ada. Sms percuma pun ratusan lagi jumlahnya. Cuma, otak aku jammed.

Bercinta bagi aku memerlukan keserasian. Dan proses memujudkan keserasian itu memakan masa yang lama. Maklumlah, hati aku amat sensitif. Dan bila organ hati ini sensitif penggunaannya, sudah pasti perkara-perkara yang memerlukan approval oleh sang hati perlu melalui proses yang panjang.

Bibir aku mungkin pandai berkata-kata. Tapi kata-kata itu mendalam maksudnya dan perlu dikaji kesahihannya. Bila aku berkata atau berjanji 'itu', maka peganglah 'itu' sebagai jaminan. Aku tidak suka berjanji dan mungkir janji sebab perkara seperti itu tidak baik untuk tubuh badan kita. Serius!

Maka, tiada balasan kepada Si Dewa sehingga ke hari ini sebab aku tidak mahu dia terus-terusan tersasar dari maksud yang sebenar. Aku tidak mahu dia salah mentafsir diri aku. Dan aku tidak mahu membuang masa sesiapa semata-mata mahu memahami aku. Kamu tidak perlu buat itu. Tetapi, jika kamu degil juga mahu memahami aku yang konflik ini, dipersilakan. Dengan kasih sayang aku sambut hasrat kamu.

Sesi Paksaan Untuk Tambah Berat Badan

Bengkel rangka kerja yang berlangsung selama 3 hari bermula Jumaat hingga Ahad baru-baru ini memang memenatkan. Memenatkan bukan untuk aku tetapi untuk para pesertanya. Kerja yang memakan masa beberapa tahun perlu dirombak dan diselesaikan dalam tempoh 3 hari berbengkel. Mahu tak ternganga mulut semua peserta. Bila buat kerja menggunakan kerahan otak memang letih. Tapi hati tetap berkobar-kobar mahu selesaikan dalam 3 hari itu.

Aku bukan peserta di sini. Aku cuma sekretariat yang sama-sama menjayakan bengkel yang membosankan ini. Di samping menjadi pendengar yang setia kepada setiap peserta yang mengadu tentang tekanan yang dihadapi hehehe.... Maklumlah, kerja perlu juga disiapkan bila tiba hari terakhir bengkel.

Hah! Tengok gambar kat atas. Aku saja gatal mahu ambil gambar kaki masing-masing. Geng jahat bersama aku pagi itu. Cuma kurang seorang ahli tidak bertugas di dewan bersama kami. Dan juga tolak seorang di gambar (yang berseluar putih) kerana dia bukan geng jahat (sebab tidak mendaftar sebagai ahli). Geng jahat hanya berempat.

Bila ada program, pasti agenda santap yang dinanti.

Makan tengahari boleh tahan menariknya. Aku bukan di dalam kategori lapar ketika itu. Namun masakannya tetap menaikkan selera.

Jangan komen apa-apa. Aku memang suka snap gambar makanan dan yang berkaitan dengannya. Tengok saja kombinasi warna yang ditonjolkan. Amat menarik perhatian.

Pink guava juice. Buat air liur meleleh saja. Makan di cafe bersebelahan dengan padang golf yang menghijau. Amat tenteram walaupun waktu itu tengahari dan bertemankan terik matahari.

Hidangan favourite dan istimewa aku. Dessert time! Cuma dihidangkan di saat-saat akhir sesi makan tengahari. Ketika perut aku penuh tidak boleh diisi lagi. Maka, pengajaran pada hari pertama, esok aku perlu berbaris bersama peserta bengkel untuk sesi makan tengahari (hanya untuk dessert). Setelah selesai sesi dessert, baru beralih ke meja sekretariat untuk main course! Dan itu yang aku buat pada hari kedua dan ketiga.

Ada Lagi Habuan Untuk Aku...

Aku dapat minggu lepas daripada teman sebilik. Nampak gaya, seat di belakang kereta akan bertambah penumpangnya. Kamu jangan lupa pakai tali pinggang kaledar. Nanti disaman polis, susah kita!

Monday, March 9, 2009

Mata Aku Pusing-pusing dan Pening..

Dari petang tadi sampai ke saat ini, aku hanya mengadap skrin notebook. Pembetulan. Bukan dari petang tadi, sebenarnya dari petang Jumaat lagi aku asyik bekerja di depan skrin. Penat berbengkel untuk rangka kerja selama 3 hari di sebuah kelab golf, 30 kilometer dari Lembah Sintok.

Esok cuti Maulidur Rasul, 12 Rabiulawal 1430H dan aku masih lagi belum tidur. Tunggu. Aku mahu habiskan pembacaan aku sebelum masuk tidur. Apa yang aku baca? Kamu tidak perlu tahu sebab ia tidak penting.

Perut aku lapar. Tidak ada apa untuk diisi. Hanya mini cup cakes yang makde beli semalam. Okey. Aku pergi kunyah sambil sambung membaca. Selamat malam!

Thursday, March 5, 2009

Kadang-kadang Sunyi Itu Perlu

Malam tadi aku ke airport, menghantar teman sebilik yang mahu ke Kuala Lumpur. Ada mesyuarat penting perlu dihadiri. Aku jarang-jarang ke airport. Apa tidak, kalau mahu ke Kuala Lumpur lebih mudah memandu sendiri atau naik bas sahaja. Terus ke destinasi yang di mahu dikunjungi. Namun, dalam kes teman aku ini, lebih baik naik flight sebab lokasi meeting pun di Sepang juga.

Sultan Abdul Halim Airport atau orang kampung di sini memanggil Airport Kepala Batas sangat sunyi malam tadi. Aku tidak tahu pula kalau di waktu siang akan ramai orang di sini atau di malam-malam lain juga akan riuh dengan manusia. Tetapi malam tadi memang seperti yang aku jangkakan, sunyi dan tenteram.

Sunyi itu bagus untuk ketenangan minda. Tambahan pula, manusia yang tenat dengan tekanan seperti aku. Bila berada di sini, seakan mahu tidur saja dan bergolek-golek di lantainya.

Cuma pilihan kedai makan di sini memang tidak menarik. Ada satu sahaja kedai makan di sini (masakan mamak) yang berada betul-betul di belakang aku. Erm.. apa lagi pilihan yang kami ada selain keluar dari kawasan airport dan mencari kedai makan yang berdekatan. Tetapi tidak mengapa kerana Bandaraya Alor Star memang sudah sunyi di waktu-waktu perdana. Jadi tidak perlu gusar dengan kemungkinan kedai akan penuh dengan budak-budak muda melepak sebelum memulakan 'sukan rakyat' setelah jam tepat 12.00 malam (baca : merempit).

Seperti biasa, perpisahan itu memang menyedihkan (chewah..!). Iye la, aku tiada teman untuk bergosip untuk tempoh 3 hari nanti hehehe... Bila hantar sesiapa di airport, di terminal bas atau di mana-mana (dalam erti kata lain, mahu berpisah), pasti perasaan sedikit beremosi. Hahaha.... jangan lupa ya kawan, survey kasut untuk aku bila tiba masa shoppong kamu!

Wednesday, March 4, 2009

Sah! Aku Sakit Tenat...

Malam tadi aku bermimpi tentang seekor harimau putih yang sangat besar tapi jinak. Lalu sebentar tadi aku cuba Google untuk mencari maksud mimpi aku. Hasilnya, memang banyak tapi maksud di situ berbeza-beza mengikut plot mimpi masing-masing.

"The tiger represents fear, agression, anger, tension, urges. " Itu yang aku dapat hasil pencarian aku yang boleh diterima pakai dan bersesuaian dengan mimpi aku malam tadi.

Dalam mimpi aku ada ramai pelakon tambahan, tapi kesemuanya aku tidak ingat siapa mereka. Aku rasa aku Heroin dalam mimpi aku dan seorang yang sangat aku kenal pasti dia Hero dalam mimpi malam tadi (aku cakap hero dalam mimpi, bukan hero AKU okey? Jangan salah meng-intepretasi pulak). Mahu tahu siapa hero dalam mimpi malam tadi? Hahahhaha...... Coach volleyball aku! Sah, aku memang tensi-mensi dengan volleyball (dan coach) aku. Sampai terbawa-bawa dalam mimpi!

Betul lah cakap orang, mimpi itu mainan tidur. Aku yang terlalu tertekan dengan masalah (volleyball) aku ini harus mencari jalan penyelesaian segera. Nanti melarat hingga menjejaskan prestasi kerja, menyusahkan orang lain pula. Jadi aku harus positif dalam menyelesaikan tekanan ini.

Petang ini ada latihan seperti biasa. Sorry Coach, aku malas pergi. Ada urusan di airport. Lagipun ramalan kaji cuaca mengatakan hujan lebat akan melanda Lembah Sintok. Tidak baik main hujan. Nanti aku demam, kamu juga susah.

Geng jahat ada bawak sarapan untuk semua. Jadi, aku ke pantry dahulu. Happy working kepada kamu yang tidak bersarapan.

Tuesday, March 3, 2009

Mungkin Mata Aku Buta..

Manusia mendifinisikan cantik berbeza-beza mengikut taksiran pemahaman mereka. Biasanya erti cantik ini dipengaruhi oleh faktor alasan, kepercayaan dan pengalaman seseorang individu dalam menterjemahkan erti cantik. Tapi ada juga yang menghuraikan maksud cantik berdasarkan nilai keegoan dalam diri seseorang.

Cantik bagi aku terletak pada hati. Dulu, masa zaman belum matang paras rupa menjadi kemestian. Tapi makin lama umur sudah meningkat, itu bukan menjadi faktor utama lagi. Mungkin lebih tepat lagi, semakin meningkat usia aku menjadi lebih flexible dan tidak begitu memilih (paras rupa). Atau mungkin hati aku menjadi lebih peka jika dibandingkan dengan deria penglihatan aku. Hati aku lebih pandai menilai baik budi seseorang. Hati aku cepat mentafsir dan meramal. Erm... mungkin hati aku tuli sebenarnya. Itu pasal sampai sekarang aku masing single. Masih belum berani beregu. Hehehe.....

Tidak apa. Tidak rugi pun jika aku masih single. Percaya saja rahmat Tuhan. Paling penting aku bersyukur dengan apa yang ada sekarang.

Maksud single tidak bermakna kita sendirian. Banyak kebaikan jika masih single (dan banyak juga kerugiannya). Keseimbangan antara baik dan buruk perlu ada bagi menjamin kebahagiaan. Tapi di sini aku tidak mahu cerita pasal yang buruk-buruk. Biar yang baik-baik sahaja ya. Alah... dahulu bagi mereka yang beregu pun asalnya single jugak kan? Jadi jangan tunjuk lagak dengan aku yang masih single ini ya?

***
Aku cukup panas jika rakan-rakan di ofis asyik bercakap rugi jika tidak berkahwin dan masih sendirian. Tolong la rakan-rakan sekalian. Jangan cetek sangat pemikiran itu. Sudah lah tinggal jauh di 'lembah' yang tersorok ini, kamu tambah pula dengan pemikiran yang tidak sihat begitu? Cuba kembangkan akal kamu yang sempit, dan mula perluaskan gaya berfikir kamu, sebagaimana pentadbir di kawasan kita memperluaskan hutan-hutan yang menghijau untuk projek-projek pembangunan.

Jangan bercakap atas dasar apa yang kamu ada. Jika kamu sudah berkahwin dan berkeluarga, bersyukur dan tingkatkan taraf hidup kamu. Bukannya merendah-merendahkan mereka yang belum ada rezeki seperti kamu. Jika kamu bahagia, alhamdulillah. Tapi, bagaimana jika kamu gagal dalam percaturan itu. Tidak bahagia. Apakah kamu masih riak dengan apa yang kamu dapat? Bunuh diri namanya jika kamu masih berbangga dengan kegagalan yang menimpa. Jadi, matang lah dalam berfikir dan segala perbuatan kamu nanti. Ingat, jangan cakap mereka yang single itu berada di dalam kerugian. Semuanya ada habuan masing-masing. Kamu juga ada habuan untuk kamu.

***
Aku suka seseorang. Tapi hanya dari jauh. Tidak kisah sebab aku masih bahagia. Bila kita suka tidak bermakna kita perlu mendapatkannya. Bukan, maksud aku kalau kita suka tidak semestinya ia perlu menjadi milik kita. Dia memang jauh dari pandangan mata sebab dia di Sabah sedangkan aku di lembah sini. Aku suka dia bukan sebab tuntutan mata aku. Mata aku hanya pandai melihat keindahan ciptaan tuhan dari luaran. Secara lahiriah. Hanya secara fizikal sahaja. Tapi suka aku bermula dari hati. Hati aku pandai membaca apa yang tidak terlihat dek mata. Perkara-perkara abstrak yang ada pada seseorang. Aku kan pernah cakap yang aku ada deria ke-enam. Heh! Maka perkara suka ini pun boleh dikategorikan sebagai hasil pemerhatian dan signal dari deria ke-enam aku lah.

Mistik?Ya, boleh juga kamu cakap ia ada sangkut paut dengan perkara mistik. Bukan apa, hati kita unik. Tempat lahirnya perasaan dan jiwa yang kabur. Tidak jelas. Harus digilap supaya bersinar. Jadi, itu yang aku buat kepada hati aku. Aku membaca dan cuba memahami manusia dari pandangan dan pemahaman hati. Bukan melalui mata. Sebab bila sesuatu perkara yang memerlukan penilaian kita, mata bukan lah hakim terbaik kerana memang sifatnya begitu. Mata akan terus menghukum. Jika cantik maka cantik lah keputusannya. Tapi jika buruk dan hodoh, maka buruk dan hodoh lah jadinya.

Cuba tanya hati. Pasti hati kamu akan membuat research dahulu sebelum menilai dan membuat keputusan. Tapi jika hasil kajian yang dilakukan oleh sang hati tadi turut dipengaruhi oleh hasutan sang mata, maka punah lah keputusan yang bakal dihebahkan nanti.

Jadi dalam kes aku tadi, biar lah jauh di mata. Aku suka hanya dari jauh. Lagipun bukannya cerita kahwin lagi. Kalau betul-betul jodoh aku ada (cis!), wajiblah duduk dekat-dekat. Lagipun dia bukannya tahu aku suka padanya. Kenal aku pun tidak. Setakat tahu nama dan mana aku kerja, makcik yang kerja di cafe berdekatan ofis aku pun tahu. Sudahnya, aku tunggu saja dia mengorat awek lain kemudian umumkan yang dia sudah menjadi hak orang. Baru padan muka aku ketika itu.

Kes aku cukup mudah. Cinta cyber tidak pernah membawa apa-apa kerugian. Kalau aku suka, aku luahkan (melalui emel sudah cukup). Sama ada mendapat respond atau tidak, itu hal kedua. Malu? Buat apa mahu rasa tebal muka, bukan bersua muka pun. Di dunia maya, hanya perlu keberanian. Maksud aku bukan keberanian di dalam membuat perkara-perkara yang tidak baik. Itu tidak harus berlaku. Keberanian hanya lanyak untuk perkara-perkara yang baik dan berfaedah sahaja. Bagaimana kamu mentafsir maksud baik dan berfaedah itu hak kamu. Aku tidak mahu campur sesuatu yang bukan menjadi hal aku.

***
Semalam teman memberitahu yang pasukan aku akan menyertai satu tournament di Shah Alam. Aku antara suka dan tidak. Suka sebab ada peluang keluar dari cubicle. Tidak suka sebab aku pergi nanti atas tiket Volleyball. Maka dengan itu aku serah semua keputusan kepada takdir. Ya. Macam orang putus harapan saja bunyinya. Seriously! Aku tidak tahu buat keputusan bila cakap pasal volleyball. Aku jadi kejang bila ada perkara yang berkaitan dengannya. Aku sudah tawar hati. Tidak mahu ada kena mengena lagi. Tapi.... aku kesian dengan kawan-kawan sepasukan. Itu yang buat aku masih bertahan hingga ke hari ini. Apa nama penyakit aku ni hah?? Tolong bagitau aku. Biar tersentak jiwa degil ini mendengarnya nanti. Mungkin hati aku sudah tidak berada di sini. Ada di Sabah mungkin. Atau hati aku sudah berada di satu company di Serdang? Mungkin rezeki kerja aku di sana. Berapa lama lagi harus aku tunggu? Mungkin hanya tinggal angan-angan sahaja. Ermm... tidak mengapa. 6 bulan bukan lah satu tempoh yang lama. Kalau memang tertulis rezeki aku di sana, kamu tunggu sahaja perpindahan aku nanti!