Tuesday, March 3, 2009

Mungkin Mata Aku Buta..

Manusia mendifinisikan cantik berbeza-beza mengikut taksiran pemahaman mereka. Biasanya erti cantik ini dipengaruhi oleh faktor alasan, kepercayaan dan pengalaman seseorang individu dalam menterjemahkan erti cantik. Tapi ada juga yang menghuraikan maksud cantik berdasarkan nilai keegoan dalam diri seseorang.

Cantik bagi aku terletak pada hati. Dulu, masa zaman belum matang paras rupa menjadi kemestian. Tapi makin lama umur sudah meningkat, itu bukan menjadi faktor utama lagi. Mungkin lebih tepat lagi, semakin meningkat usia aku menjadi lebih flexible dan tidak begitu memilih (paras rupa). Atau mungkin hati aku menjadi lebih peka jika dibandingkan dengan deria penglihatan aku. Hati aku lebih pandai menilai baik budi seseorang. Hati aku cepat mentafsir dan meramal. Erm... mungkin hati aku tuli sebenarnya. Itu pasal sampai sekarang aku masing single. Masih belum berani beregu. Hehehe.....

Tidak apa. Tidak rugi pun jika aku masih single. Percaya saja rahmat Tuhan. Paling penting aku bersyukur dengan apa yang ada sekarang.

Maksud single tidak bermakna kita sendirian. Banyak kebaikan jika masih single (dan banyak juga kerugiannya). Keseimbangan antara baik dan buruk perlu ada bagi menjamin kebahagiaan. Tapi di sini aku tidak mahu cerita pasal yang buruk-buruk. Biar yang baik-baik sahaja ya. Alah... dahulu bagi mereka yang beregu pun asalnya single jugak kan? Jadi jangan tunjuk lagak dengan aku yang masih single ini ya?

***
Aku cukup panas jika rakan-rakan di ofis asyik bercakap rugi jika tidak berkahwin dan masih sendirian. Tolong la rakan-rakan sekalian. Jangan cetek sangat pemikiran itu. Sudah lah tinggal jauh di 'lembah' yang tersorok ini, kamu tambah pula dengan pemikiran yang tidak sihat begitu? Cuba kembangkan akal kamu yang sempit, dan mula perluaskan gaya berfikir kamu, sebagaimana pentadbir di kawasan kita memperluaskan hutan-hutan yang menghijau untuk projek-projek pembangunan.

Jangan bercakap atas dasar apa yang kamu ada. Jika kamu sudah berkahwin dan berkeluarga, bersyukur dan tingkatkan taraf hidup kamu. Bukannya merendah-merendahkan mereka yang belum ada rezeki seperti kamu. Jika kamu bahagia, alhamdulillah. Tapi, bagaimana jika kamu gagal dalam percaturan itu. Tidak bahagia. Apakah kamu masih riak dengan apa yang kamu dapat? Bunuh diri namanya jika kamu masih berbangga dengan kegagalan yang menimpa. Jadi, matang lah dalam berfikir dan segala perbuatan kamu nanti. Ingat, jangan cakap mereka yang single itu berada di dalam kerugian. Semuanya ada habuan masing-masing. Kamu juga ada habuan untuk kamu.

***
Aku suka seseorang. Tapi hanya dari jauh. Tidak kisah sebab aku masih bahagia. Bila kita suka tidak bermakna kita perlu mendapatkannya. Bukan, maksud aku kalau kita suka tidak semestinya ia perlu menjadi milik kita. Dia memang jauh dari pandangan mata sebab dia di Sabah sedangkan aku di lembah sini. Aku suka dia bukan sebab tuntutan mata aku. Mata aku hanya pandai melihat keindahan ciptaan tuhan dari luaran. Secara lahiriah. Hanya secara fizikal sahaja. Tapi suka aku bermula dari hati. Hati aku pandai membaca apa yang tidak terlihat dek mata. Perkara-perkara abstrak yang ada pada seseorang. Aku kan pernah cakap yang aku ada deria ke-enam. Heh! Maka perkara suka ini pun boleh dikategorikan sebagai hasil pemerhatian dan signal dari deria ke-enam aku lah.

Mistik?Ya, boleh juga kamu cakap ia ada sangkut paut dengan perkara mistik. Bukan apa, hati kita unik. Tempat lahirnya perasaan dan jiwa yang kabur. Tidak jelas. Harus digilap supaya bersinar. Jadi, itu yang aku buat kepada hati aku. Aku membaca dan cuba memahami manusia dari pandangan dan pemahaman hati. Bukan melalui mata. Sebab bila sesuatu perkara yang memerlukan penilaian kita, mata bukan lah hakim terbaik kerana memang sifatnya begitu. Mata akan terus menghukum. Jika cantik maka cantik lah keputusannya. Tapi jika buruk dan hodoh, maka buruk dan hodoh lah jadinya.

Cuba tanya hati. Pasti hati kamu akan membuat research dahulu sebelum menilai dan membuat keputusan. Tapi jika hasil kajian yang dilakukan oleh sang hati tadi turut dipengaruhi oleh hasutan sang mata, maka punah lah keputusan yang bakal dihebahkan nanti.

Jadi dalam kes aku tadi, biar lah jauh di mata. Aku suka hanya dari jauh. Lagipun bukannya cerita kahwin lagi. Kalau betul-betul jodoh aku ada (cis!), wajiblah duduk dekat-dekat. Lagipun dia bukannya tahu aku suka padanya. Kenal aku pun tidak. Setakat tahu nama dan mana aku kerja, makcik yang kerja di cafe berdekatan ofis aku pun tahu. Sudahnya, aku tunggu saja dia mengorat awek lain kemudian umumkan yang dia sudah menjadi hak orang. Baru padan muka aku ketika itu.

Kes aku cukup mudah. Cinta cyber tidak pernah membawa apa-apa kerugian. Kalau aku suka, aku luahkan (melalui emel sudah cukup). Sama ada mendapat respond atau tidak, itu hal kedua. Malu? Buat apa mahu rasa tebal muka, bukan bersua muka pun. Di dunia maya, hanya perlu keberanian. Maksud aku bukan keberanian di dalam membuat perkara-perkara yang tidak baik. Itu tidak harus berlaku. Keberanian hanya lanyak untuk perkara-perkara yang baik dan berfaedah sahaja. Bagaimana kamu mentafsir maksud baik dan berfaedah itu hak kamu. Aku tidak mahu campur sesuatu yang bukan menjadi hal aku.

***
Semalam teman memberitahu yang pasukan aku akan menyertai satu tournament di Shah Alam. Aku antara suka dan tidak. Suka sebab ada peluang keluar dari cubicle. Tidak suka sebab aku pergi nanti atas tiket Volleyball. Maka dengan itu aku serah semua keputusan kepada takdir. Ya. Macam orang putus harapan saja bunyinya. Seriously! Aku tidak tahu buat keputusan bila cakap pasal volleyball. Aku jadi kejang bila ada perkara yang berkaitan dengannya. Aku sudah tawar hati. Tidak mahu ada kena mengena lagi. Tapi.... aku kesian dengan kawan-kawan sepasukan. Itu yang buat aku masih bertahan hingga ke hari ini. Apa nama penyakit aku ni hah?? Tolong bagitau aku. Biar tersentak jiwa degil ini mendengarnya nanti. Mungkin hati aku sudah tidak berada di sini. Ada di Sabah mungkin. Atau hati aku sudah berada di satu company di Serdang? Mungkin rezeki kerja aku di sana. Berapa lama lagi harus aku tunggu? Mungkin hanya tinggal angan-angan sahaja. Ermm... tidak mengapa. 6 bulan bukan lah satu tempoh yang lama. Kalau memang tertulis rezeki aku di sana, kamu tunggu sahaja perpindahan aku nanti!