Saturday, February 28, 2009

Kerja Hingga Hilang Akal

Aku tidak ada masa untuk diri aku sendiri sebab aku sibuk dengan kerja-kerja di pejabat. Hinggakan balik ke rumah pun masih berkepit dengan kerja.

Banyak perkara terpaksa aku fikirkan. Hasilnya sistem di kepala otak ini tidak dapat berfungsi dengan normal dan sebaik mungkin. Kebelakangan ini, banyak program-program ad-hoc yang terpaksa diluluskan menyebabkan semua perkara yang dirancang awal terpaksa ditangguh dan diubah perlaksanaannya.

Sabtu lepas, merupakan hari terakhir Boss aku (yang selalu out-station) bertugas di sini. Aku dimaklumkan oleh teman se-division yang mengatakan minggu ini merupakan minggu terakhir Boss aku di sini. Tidak apa. Ada atau tidak sama sahaja. Dia tidak pernah ada di pejabat pun selama ini, dan kami pun tidak terasa akan kehadirannya di sini.

Maka, dari itu aku (dan rakan-rakan se-division) akan mendapat Boss baru esok (secara rasminya). Baru, hanya pada perlantikan, sedangkan yang akan datang esok pun merupakan orang lama yang sudah biasa dengan department aku. Sebelum ini beliau di division lain tapi kali ini beliau ditempatkan di division aku. Harap kerja-kerja yang kami buat selama ini dapat diselaraskan dengan lebih teratur apabila Boss baru dilantik. Tolong ya Boss. Jangan jadi macam Boss yang sebelum ini. Habis semua kerjanya kami setlle-kan.

Bulan Mac, seperti biasa akan sibuk dengan majlis konvokesyen. Ini pun banyak juga perubahan telah dibuat di saat-saat akhir dan ada juga keputusan dari perubahan tersebut masih belum di selesaikan serta diambil tindakan. Seperti biasa, bila keputusan dari jentera yang bermesyuarat lambat disebarkan, maka sudah pasti jentera-jentera perlaksana akan menerima musibah.

Biasanya, saat ini aku sudah tahu bila majlis perasmian sesuatu program yang biasanya akan berlangsung sebulan dari sekarang. Tambah menarik kalau program itu merupakan acara tahunan company. Tetapi kali ini, tarikh perasmian masih menjadi rahsia dan tanda tanya. Mungkin kamu sengaja mahu berbincang lagi mengenainya. Suka hati kamu lah. Mesyuarat lah lagi. Habiskan semua duit-duit peruntukan untuk bermesyuarat. Pesan lah Roti John mamak style dan minum lah teh tarik satu jag di meja perbincangan. Janji kamu bersepakat untuk memilih satu tarikh untuk majlis perasmian itu nanti. Aku sudah penat menunggu. Banyak lagi kerja-kerja aku tertangguh gara-gara mahu menunggu persetujuan untuk memilih satu tarikh yang sesuai. Aku sudah penat. Sekarang otak aku sudah memikirkan program untuk bulan April pula. Tengok. Sudah aku cakap. Kamu perlu cepat sebab aku tidak mahu tunggu lagi.

Aku mahu segerakan program-program di bulan Mac dan April. Lagi cepat, lagi baik. Kemudian, aku mahu rancang program untuk bulan Mei dan Jun pula. Tapi program bulan Mei dan Jun itu hanya untuk aku. Kamu jangan kacau. Pergi main jauh-jauh.

Sudah lama aku tidak bercuti. Ermm...kalau tidak dapat ke Sabah, Kuala Lumpur pun boleh lah!