Thursday, March 17, 2011

Ilmu 'Alam'

Sesampai di ofis, terus mencari-cari vaseline di dalam handbag. Colek sedikit isi perutnya yang jernih itu lalu aku sapu di ibu jari kaki kanan. Dah lama rasa sengal ni mencucuk-cucuk setia kali berjalan. Mungkin signal untuk aku berseliper nipis ke pejabat selepas ini. Tiada lagi wedges atau high heels. 

Mungkin, itu juga yang berlaku bila hati kita berdebar-debar ingatkan seseorang. Satu persatu wajah yang dirindui atau segala kenangan manis ketika bersama menghentak-hentak kotak hati dan jantung. Atau, mungkin juga perasaan sunyi menyebabkan arkib di kepala kita mula memutarkan semula rekod-rekod lama yang dah berhabuk. Maka, tindakan seterusnya bakal mengejutkan teman-teman yang sudah lama tidak dihubungi. 

Entah. Aku cuma simpulkan sendiri setiap perkara atau tindakan yang dilakukannya. Perasaan takut dan malu kerana sudah lama tidak bertanya khabar itu memang akan ada. Tapi jika kamu mahukan sesuatu, usah dipeduli semua perasaan yang bakal menutup segala peluang. Untuk mendapatkan sesuatu ilmu, kamu perlu peka. Kutip setiap yang berlaku dalam hidup kamu sebagai pengajaran di kemudian hari. Tapi, bila bercakap pasal diri orang lain, agak sukar untuk berbuat apa-apa kalau orang itu sendiri tidak mahu memulakan sesuatu pembaharuan dalam hidupnya. Kalau ikutkan hati aku, mahu saja aku lecture puas-puas. Tapi manusia ni lumrahnya begitu, tunggu terantuk baru lah nak sedar dan akui yang dinding batu itu keras rupanya.