Wednesday, August 24, 2011

Perebutan Kuasa

Bila kamu diminta untuk menjadi orang tengah dalam menyampaikan apa-apa hajat, kamu patut merasakan ada sebab tertentu mereka memilih kamu dan antaranya:
  1. Kepercayaan yang tidak berbelah bagi yang kamu dapat menyampaikan dengan jelas maksudnya.
  2. Kamu seorang yang neutral, pasti kamu tidak bersangka-sangka dan memihak kepada sesiapa.
  3. Kamu seorang yang adil.
  4. Kemahiran berkomunikasi kamu memang yang terbaik.
  5. Kamu seorang yang disegani sehingga apa yang disampaikan atau sebarang permintaan oleh orang yang minta bantuan kamu, pasti mendapat keputusan yang positif daripada si penerima hajat.
  6. Dan bermacam-macam lagi perkara murni ada pada kamu.
Tapi, kamu pasti tidak keruan bila yang memohon bantuan kamu itu adalah ibu kamu dan dia mahu kamu menyampaikan hajat kepada abang kamu supaya dia ikut kamu dan ibu kamu pulang berhari raya di kampung. Maknanya, tahun ini tidak perlu beraya di rumah ibu mertua abang kamu. Dan kalau kakak ipar kamu mahu juga menyambut Syawal di rumah ibunya, abang kamu pulang sendirian sahaja tanpa anak isteri bersama.

Wah! Semacam mahu hantuk-hantuk saja kepala aku ini ke dinding yang berbatu-batu kasar. Kalau dinding itu ada serpihan-serpihan simen pecah, lagi bagus. Baru sedap ia menggosok-gosok kepala aku yang sakit mencantum-cantum ayat paling bombastik.