Tuesday, April 26, 2011

Janggal

Lebat hujan di luar tidak mampu menghilangkan debar di hati yang sedang berkecamuk. Aku nampak dia di situ, tetapi kaki berat untuk melangkah maju. Hati menghantar signal kepada kaki supaya melangkah ke sudut yang lebih tersorok. Manusia yang sibuk keluar masuk premis dan menikmati hidangan di hadapan mereka seakan tidak sedar kewujudan aku di situ. Sudah lama aku berdiri, tapi tidak ada seorang pelayan pun yang mahu peduli atau sekurang-kurangnya membawa aku ke meja yang belum ditempah. 

Aku kembali memerhati dari kejauhan. Terasa sangat janggal. hati seolah mahu menerpa ke arahnya tetapi akal seperti menghalang, membuatkan kaki terus kaku di sofa empuk, tidak berganjak. Aku mengharapkan dia menoleh. Mengharapkan dia akan ternampak aku di sudut ini. Aku berharap dan terus berharap. Hati dan akal sedang berbincang untuk mencapai satu keputusan mutlak.

Aku masih menunggu.

Aku akan tenang jika tidak nampak kelibatnya tapi boleh jadi tidak tentu arah bila mengetahui dia ada di situ. Wahai hati dan akal, cepatlah putuskan jawapannya kerana aku semakin buntu.