Monday, June 13, 2011

Hidup Itu Satu Cabaran

Cabaran yang mempunyai banyak pecahan dan dahan. Cabaran yang membuatkan seseorang lasak menghadapi badai realiti. Tapi, tidak semua orang dapat menanganinya. Maksud aku, setiap orang ada cara untuk menepis dan mengharungi ribut petir kehidupan masing-masing.

Jadi, walau seyakin mana pun aku katakan yang dinding batu itu keras, tapi kalau kamu tetap juga mahu mencuba menghantukkan kepala kamu ke dinding itu, maka aku dengan rela membiarkan saja perbuatan itu. Tipu kalau aku katakan yang aku langsung tidak terkesan dengan tindakan kamu, tapi apa lagi yang boleh aku buat. Fitrah manusia tidak akan puas selagi tidak mencuba. Biar hancur dan luluh jiwa melihat kamu terluka, namun itu saja jalan terbaik untuk kamu mengingati segala hasil daripada perbuatan kamu sendiri. Itu hakikat yang perlu kamu tanggung.

Pelajaran yang bakal kamu lalui hanya akan kamu rasai sekali. Namun jika kamu diberi peluang kedua, aku hanya berharap kamu tidak sia-siakannya kerana peluang sebegitu jarang berlaku. Kita tidak akan mendapat dua ganjaran dengan sekali usaha yang dikerjakan, dan kita juga tidak dihidupkan hanya untuk melebihkan sesuatu perkara. Semuanya perlu seimbang. 

Percayalah kamu, jika suatu hari kamu terasa terlalu bahagia, dikemudian hari sudah pasti hari yang paling murung bakal menjenguk. Jika hari ini kamu hanya dihidangkan dengan gelak ketawa, sudah pasti kamu akan berduka hiba dengan tangisan sepanjang masa. 

Hidup ini sudah cantik aturannya. Hanya kamu perlu touch-up mana yang patut.

Aku tulis ini bukan untuk kamu saja, malah aku tulis untuk diri aku juga.